Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angka korban gempa bumi Filipina meningkat kepada 72

    BOGO, 2 OKT – Apabila anggota bomba mengeluarkan mayat anak lelakinya yang berusia empat tahun dalam sebuah beg daripada hotel bajet yang runtuh akibat gempa bumi berukuran 6.9 magnitud di Filipina tengah, Isagani Gelig tunduk dan mengusap perlahan beg mayat hitam itu selama beberapa minit, cuba merasai jasad anaknya untuk kali terakhir.
     
    Beg yang mengandungi mayat isteri Gelig, seorang penyambut tetamu di Condor Pension House, dikeluarkan seterusnya. Dia bekerja pada waktu malam sambil menjaga anak mereka, John. 
     
    Seorang penyelamat menyerahkan telefon bimbit yang ditemui bersama mayatnya, dan Gelig mengangguk sebagai pengesahan bahawa ia milik isterinya.
     
    Gelig dan keluarganya telah menghubungi mereka dengan cemas selepas gempa kuat menggegar bandar Bogo di wilayah Cebu pada malam Selasa, tetapi dia tidak menjawab.
     
    “Saya berjalan di sekitar runtuhan dan terus memanggil nama mereka,” kata Gelig kepada AP di tepi hotel yang runtuh, di mana dia dan penyelamat menemui mayat mereka tersangkut bersama di runtuhan tingkat pertama.
     
    Mangsa gempa mengecas telefon bimbit mereka, kelmarin, di San Remigio, Wilayah Cebu, Filipina Tengah. – AP
    Jumlah kematian akibat gempa meningkat kepada sekurang-kurangnya 72 orang hari ini dengan hampir 300 cedera. Pegawai bencana berkata tiada laporan baharu mengenai orang hilang. 
     
    Lebih 170,000 orang terjejas, termasuk ramai yang enggan pulang ke rumah kerana trauma dan bimbang berlaku gegaran susulan.
     
    Gempa itu merosakkan atau memusnahkan 87 bangunan dan hampir 600 rumah di Bogo, sebuah bandar pesisir baharu dengan kira-kira 90,000 penduduk, serta bandar-bandar sekitar. 
     
    Jambatan dan jalan konkrit turut rosak dan sebuah pelabuhan di Bogo runtuh.
     
    Gempa berlaku sekitar jam 10 malam akibat garis sesar bawah laut yang cetek, yang menurut ahli seismologi Filipina belum bergerak sekurang-kurangnya dalam masa 400 tahun. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda