SAO PAULO, 25 DIS – Angka kematian dalam kejadian jambatan runtuh di Brazil pada hujung minggu meningkat kepada empat orang kelmarin, dengan pencarian 13 orang lagi yang hilang berdepan risiko disebabkan bertan-tan asid daripada trak tumpah ke dalam air, kata pegawai.
Tiga buah trak dua membawa asid sulfurik dan sebuah membawa racun perosak adalah antara lapan kenderaan yang terjatuh ke Sungai Tocantins apabila jambatan Juscelino Kubitschek de Oliveira runtuh Ahad lalu.
“Kenderaan berat itu mengangkut sejumlah 5,800 gelen racun perosak pertanian dan 76 tan asid sulfurik,” kata Agensi Air Kebangsaan Brazil.
Bagaimanapun masih belum dapat dipastikan sama ada asid itu tumpah dari trak dan mencemari sungai itu. Setakat ini kajian terhadap keadaan air sedang dijalankan. – AFP