HANOI, 2 NOV – Hujan lebat dan banjir yang melanda bahagian tengah Vietnam minggu ini telah meragut seramai 35 nyawa, kata pegawai pengurusan bencana hari ini, dengan lima lagi masih hilang dalam bencana itu.
Hujan lebat telah melanda wilayah pesisir Vietnam sejak hujung minggu lalu, dengan rekod hujan setinggi 1.7 meter dalam tempoh 24 jam antara Isnin sehingga hari ini.
Menurut laporan daripada Vietnam Disaster and Dyke Management Authority (VDDMA), kesemua 35 kematian berlaku di wilayah Hue, Da Nang, Lam Dong dan Quang Tri.
Manakala, sebuah tapak warisan dunia UNESCO, kota lama Hoi An, turut ditenggelami air setinggi paras pinggang, dengan penduduk terpaksa berpindah keluar daripada kawasan bandar menggunakan perahu kayu selepas sungai tempatan utama melimpah pada paras tertinggi dalam tempoh 60 tahun.
“Semua orang terkejut selepas banjir. Orang ramai bersedia menghadapi banjir, tetapi mereka tidak menjangka air akan naik setinggi ini,” kata seorang penduduk Hoi An, Chuong Nguyen, kepada AFP hari ini.
Menurut VDDMA, lebih daripada 16,500 rumah kini ditenggelami air, sementara lebih daripada 40,000 haiwan ternakan dan unggas hanyut serta lebih daripada 5,300 hektar tanah pertanian terendam.
Awal minggu ini, kementerian alam sekitar Vietnam berkata, lebih daripada 100,000 rumah telah dibanjiri dan lebih daripada 150 kejadian tanah runtuh turut dilaporkan.
Para saintis berkata, perubahan iklim yang dipacu oleh aktiviti manusia menjadikan fenomena cuaca ekstrem seperti ribut dan banjir lebih maut dan merosakkan. – AFP


