Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angka korban meningkat susulan insiden letupan lori gas di Mexico

    MEXICO, 11 SEPT – Sebuah lori gas meletup di Mexico kelmarin sehingga mengakibatkan empat orang maut dan 90 lagi tercedera, kata pegawai bandar, selain menyebabkan kerosakan dan gangguan yang meluas.

    Kenderaan itu terbalik dan meletup di bawah jambatan di daerah Iztapalapa yang padat dengan penduduk, menyebabkan 19 orang mengalami melecur tahap dua dan tiga, kata Datuk Bandar Mexico, Clara Brugada.

    Mangsa yang tercedera telah dirawat di hospital bandar, di mana ahli keluarga turut berkumpul untuk mendapatkan berita mengenai mangsa.

    Clara turut memaklumkan kemas kini jumlah mangsa yang maut dan cedera di platform media sosial X, dengan menambah 10 daripada mangsa cedera telah dibenarkan keluar.

    Di samping itu, gambar yang disebarkan di televisyen dan media sosial turut menunjukkan detik letupan kuat itu berlaku.

    Anggota bomba mengawal kawasan di mana sebuah lori gas meletup di Mexico pada 10 September. – AFP

    Orang ramai dapat dilihat mengalami melecur teruk, manakala yang berada berhampiran kawasan bencana lari daripada api yang merebak dengan cepat dan kemudian berjaya dikawal oleh anggota bomba.

    Kira-kira 28 kenderaan lain turut rosak dalam letupan itu, namun punca letupan tersebut masih belum diketahui.

    Beberapa mangsa telah diselamatkan menggunakan helikopter sebagai sebahagian daripada tindak balas kecemasan yang melibatkan ratusan anggota paramedik dan tentera.

    Manakala, terdapat gambar lain yang menunjukkan lori terbakar dan membawa 49,500 liter gas, telah terbalik di atas jalan.

    Maklumat awal menunjukkan permit operasi lori itu tidak lengkap. Agensi keselamatan persekutuan berkata, pihaknya belum menerima dokumen insurans yang diperlukan daripada pemilik kenderaan.

    Asap kebakaran turut merebak ke stesen bas troli berhampiran, salah satu pengangkutan utama bagi 9.2 juta penduduk bandar itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda