LA PAZ, 4 MAC – Angka kematian akibat nahas melibatkan dua kenderaan di lebuh raya barat Bolivia meningkat kepada 31 orang, manakala kira-kira 20 lagi cedera parah, lapor Xinhua memetik kenyataan pihak polis.
Jurucakap Jabatan Polis Potosi, Limbert Choque berkata kejadian yang berlaku pada awal pagi Isnin itu pada mulanya mengorbankan 15 hingga 20 nyawa, namun jumlah korban terus meningkat dan dijangka bertambah.
Siasatan awal mendapati sebuah bas penumpang milik syarikat Challapata, yang membawa lebih 50 penumpang bertembung dengan sebuah van yang datang dari arah bertentangan.
Akibat perlanggaran itu, bas berkenaan terbabas ke dalam gaung.
“Setakat ini, 31 mayat termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak telah dibawa ke Hospital Bracamonte,” kata Choque.
Pemandu van turut cedera dan kini menerima rawatan di hospital.
“Kami mengesyaki pemandu van memasuki laluan bertentangan, menyebabkan pertembungan itu berlaku,” katanya. – Bernama
