KAHERAH, 14 MAC – Sekurang-kurangnya 10 orang maut, manakala 12 lagi cedera selepas sebuah bas mini dirempuh kereta api di wilayah Ismailia, timur laut Mesir kelmarin, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan.
Perkhidmatan Kereta Api Nasional Mesir (ENR) dalam kenyataan berasingan memaklumkan bahawa kejadian berlaku apabila bas berkenaan cuba melintasi landasan melalui laluan yang tidak dibenarkan, lapor Xinhua.
Sebanyak 13 ambulans dikejarkan ke lokasi kejadian dan mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Pusat El Qantara Sharq untuk menerima rawatan.
Pihak ENR menggesa pemandu dan pejalan kaki supaya menggunakan lintasan kereta api yang ditetapkan bagi mengelakkan tragedi serupa berulang. – Bernama
