Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angka korban runtuhan lombong di Chile meningkat kepada dua

    SANTIAGO, 3 OGOS – Seorang daripada lima pelombong yang terperangkap dalam lombong tembaga El Teniente di Chile ditemukan maut pada Jumaat, menjadikan jumlah korban meningkat kepada dua selepas insiden runtuhan yang dicetuskan gempa bumi berukuran 4.2 pada skala Richter di kawasan tengah Chile, lapor Xinhua.

    Syarikat perlombongan milik kerajaan, Codelco turut mengesahkan mayat mangsa ditemukan ketika operasi menyelamat masih diteruskan, namun proses pengecaman identiti masih belum selesai.

    “Berita itu amat menyedihkan. Namun ia mengesahkan, kami berada di landasan yang betul dalam usaha menyelamat ini,” kata Pengurus Besar Bahagian El Teniente, Andres Music. 

    Sejak kejadian pada Khamis, Codelco menghentikan operasi pengeluaran dan mula membersihkan runtuhan untuk sampai kepada para pekerja yang terperangkap.

    Menurut maklumat terkini, pasukan penyelamat mengalihkan 2,450 tan serpihan dan berjaya mara sejauh 21 meter daripada keseluruhan jarak 90 meter yang diperlukan untuk sampai ke lokasi dipercayai tempat para pelombong berada.

    Presiden Gabriel Boric berkata segala sumber dan usaha negara kini ditumpukan kepada misi menyelamat itu.

    “Keutamaan kami adalah memberi sokongan kepada keluarga mangsa dan memastikan mereka dimaklumkan setiap perkembangan,” katanya.

    El Teniente merupakan lombong tembaga bawah tanah terbesar di dunia, terletak 130 kilometer di selatan Santiago pada ketinggian 2,300 meter dari aras laut. 

    Ia menggaji hampir 4,000 pekerja dan menghasilkan 356,000 tan metrik tembaga pada 2024.  – Bernama

    Gambar ini menunjukkan pintu masuk Lombong El Teniente, di Komun Machali, Wilayah O’Higgins, Chile, pada 1 Ogos. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda