SIDOARJO, 7 OKT – Operasi mencari mangsa runtuhan sekolah asrama di Indonesia minggu lalu berakhir hari ini dengan jumlah kematian meningkat kepada 67 orang, menurut seorang pegawai.
Sebahagian daripada sekolah asrama Islam bertingkat di Pulau Jawa, Indonesia, runtuh pada 29 September ketika lebih 170 pelajar berkumpul untuk solat petang.
“Memasuki hari kesembilan, kami telah menamatkan operasi mencari dan menyelamatkan mangsa,” kata Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Mohammad Syafii, dalam satu sidang media.
Pengarah operasi agensi itu, Yudhi Bramantyo berkata pasukan menyelamat hari ini membersihkan semua runtuhan di lokasi kejadian, menggeledah kawasan berkenaan dan menyimpulkan bahawa tidak mungkin mereka akan menemui mayat lagi.
“Jumlah keseluruhan mangsa yang dikeluarkan ialah 171 orang, dengan 67 terkorban, termasuk lapan bahagian tubuh badan dan 104 orang terselamat,” kata Yudhi dalam sidang media.

Budi Irawan, Timbalan Ketua Agensi Bencana Nasional (BNPB), berkata adalah ‘tidak mungkin terdapat lagi mayat di sana.’
Setakat ini, hanya 17 mayat telah dikenal pasti, menurut Unit Pengecaman Mangsa Bencana Polis.
Runtuhan ini merupakan bencana paling teruk di Indonesia setakat tahun ini, menurut Agensi Bencana Nasional (BNPB).
Pihak penyiasat sedang meneliti punca kejadian, namun petunjuk awal menunjukkan bahawa pembinaan yang tidak berkualiti mungkin menyumbang kepada insiden berkenaan, menurut pakar.
Keluarga mangsa yang hilang bersetuju pada Khamis lalu supaya peralatan berat digunakan, selepas tempoh ‘emas’ 72 jam bagi peluang terbaik untuk hidup berakhir.
Piawaian pembinaan yang longgar telah menimbulkan kebimbangan meluas mengenai keselamatan bangunan di Indonesia.
Sekurang-kurangnya tiga orang maut dan puluhan cedera pada September lalu apabila sebuah bangunan tempat sembahyang runtuh di Jawa Barat. – AFP

