BOGOTA, 27 JUN – Angka korban akibat kejadian tanah runtuh berhampiran bandar Medellin, Colombia meningkat kepada 16 orang, menurut pihak berkuasa kelmarin, dengan usaha mencari mangsa yang masih hilang diteruskan.
Tanah runtuh itu berlaku pada Selasa di kawasan bukit Bello, berhampiran bandar kedua terbesar di Colombia, selepas hujan lebat menyebabkan anak sungai di kawasan itu melimpah.
Gabenor wilayah Antioquia, Andres Julian Rendon, dalam satu hantaran di X memaklumkan bahawa jumlah korban meningkat kepada 16 orang, manakala lapan lagi masih dilaporkan hilang.
Datuk Bandar Bello, Lorena Gonzalez berkata keadaan tanah di kawasan bencana masih tidak stabil dan anggota penyelamat menghadapi risiko besar untuk meneruskan operasi mencari dan menyelamat.
Wilayah Antioquia yang terletak di pergunungan Andes barat Colombia sering terjejas akibat tanah runtuh ketika musim hujan.
Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di kawasan pinggir bandar Medellin yang lain, Sabaneta, bulan lalu. – AFP


