HANOI, 3 OKT – Angka korban akibat Taufan Bualoi di Vietnam meningkat melebihi 50 orang, menurut kerajaan hari ini, dengan lebih 12 mangsa masih hilang beberapa hari selepas ribut itu mencetuskan banjir besar-besaran.
Bualoi membadai Vietnam tengah lewat Ahad lalu dengan kelajuan angin mencecah 130 kilometer sejam dan berlarutan di daratan selama hampir 12 jam.
Hujan lebat akibat ribut itu membanjiri ibu negara Hanoi minggu ini, manakala banjir dan tanah runtuh memusnahkan lebih 200,000 kediaman, infrastruktur awam serta kawasan pertanian di seluruh negara.
Kementerian Alam Sekitar menganggarkan kerosakan akibat Bualoi mungkin mencecah AS$600 juta.
Ribut itu telah meragut sekurang-kurangnya 51 nyawa, manakala 14 lagi masih hilang, kata kementerian itu dalam kemas kini terbaharunya hari ini.
Tanah runtuh turut meragut beberapa nyawa di kawasan pergunungan utara, serta menjejaskan akses ke lokasi pelancongan seperti Sapa dan Mu Cang Chai. Imej yang disiarkan media kerajaan dan media sosial menunjukkan jalan raya rosak sepenuhnya dengan bongkah batu besar serta tanah menutup laluan di kawasan pergunungan.
Jabatan ramalan cuaca berkata paras air banjir mula surut, namun memberi amaran bahawa Taufan Matmo yang kini menghampiri utara Filipina mungkin memberi kesan kepada wilayah utara Vietnam awal minggu depan. – AFP


