LAGOS, 20 JAN – Angka korban akibat letupan sebuah lori tangki bahan api di Nigeria yang membunuh orang ramai yang berebut untuk mengumpul bahan api meningkat kepada 86 orang, menurut perkhidmatan kecemasan kelmarin.
Lori yang membawa 60,000 liter petrol itu meletup selepas terbalik di atas jalan raya di kawasan tengah negara tersebut pada Sabtu, menurut pihak berkuasa.
Pasukan penyelamat sebelum ini melaporkan jumlah korban sebanyak 70 orang.
“Kami mengebumikan 86 mayat antara pukul 12 tengah hari semalam hingga pukul 2 pagi hari ini,” kata Ibrahim Audu Husseini, jurucakap agensi pengurusan kecemasan negeri Niger.
“Kami mengambil masa 14 jam untuk mengebumikan mayat-mayat kerana kami tidak dapat mendapatkan jentera penggali dan terpaksa meminta penduduk tempatan menggali kubur besar secara manual,” tambahnya.
Seramai 52 orang lagi mengalami kesan melecur yang teruk akibat letupan tersebut,” katanya. Letupan itu berlaku di persimpangan Dikko, di jalan yang menghubungkan ibu negara persekutuan Abuja dengan bandar utara Kaduna.
Sekumpulan orang bergegas ke lokasi di mana lori tangki itu terbalik untuk mencari bahan api yang harganya melambung tinggi akibat krisis ekonomi.
“Saya melihat seorang wanita membawa satu gelen minyak dan gelen itu meletup, menyebabkan minyak tersebut tercurah ke atas saya,” kata Dalandi Abdullahi kepada AFP dari hospital yang sedang merawat luka melecur pada lengan dan tubuhnya.
Peniaga Bashiru Umar, yang kehilangan barangan niaganya dalam kebakaran itu, berkata, “Generator menjadi punca kebakaran dan tiada air untuk memadamkannya.” – AFP