LIBREVILLE, 13 MAC – Tiga lagi mayat telah ditemui daripada nahas feri di luar pantai Gabon, menambah jumlah korban kepada enam dengan 31 orang masih hilang, kata kerajaan hari ini.
Esther Miracle, kapal milik persendirian itu karam di perairan yang tenang Khamis lalu bersama 161 penumpang dan anak kapal dari ibu kota Libreville ke bandar minyak Port-Gentil.
“Sebuah kapal dengan penyelam masih mencari bangkai kapal itu,” kata Perdana Menteri, Alain-Claude Bilie-By-Nze kelmarin, apabila ketiga-tiga mayat itu ditemui.
“Kami tidak akan menghentikan pencarian sehingga kami mengesan bangkai kapal tersebut dan kami akan membawa balik semua mayat,” katanya.
Pendakwa raya, Libreville Andre Patrick Roponat memberitahu AFP siasatan dilancarkan untuk mencari punca kemalangan sama ada melibatkan kecuaian, penyelenggaraan atau faktor di luar kawalan manusia.
Sementara menunggu hasil siasatan, kerajaan Gabon menggantung pelayaran kapal penumpang sehingga 31 Mac dan mengarahkan audit semua kapal penumpang.
Kebanyakan 124 mangsa yang terselamat telah diselamatkan dari Libreville selepas subuh oleh penduduk menggunakan sampan, tongkang minyak dan bot peronda tentera laut. – AFP