Tuesday, January 7, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angkara haiwan liar?

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Khayr Zakariyya dan WhatsApp

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MEI – Susulan video tular di aplikasi WhatsApp mengenai permukaan beberapa tapak kubur di Tanah Perkuburan Islam Terunjing yang kelihatan digali baru-baru ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengesahkan menerima aduan mengenainya dan sedang menyiasat perkara itu.

    Video tular itu menunjukkan beberapa tapak perkuburan yang seakan-akan dibongkar, dengan teks yang disertakan memaklumkan kepada ahli keluarga arwah yang terjejas kuburnya.

    Kejadian itu yang dirakamkan pada Selasa lalu, masih lagi sama keadaannya pada hari ini, menurut teks tersebut.

    Salah seorang penduduk di kawasan tersebut yang enggan dinamakan, turut memaklumkan perkara itu kepada pihak media dan menjangkakan ia disebabkan haiwan, kemungkinan khinzir liar dari kawasan hutan berdekatan kerana kejadian seumpama itu pernah berlaku sebelum ini.

    Sehubungan itu, orang ramai melalui komen dalam aplikasi WhatsApp menyarankan pihak berkuasa mengambil tindakan segera agar kejadian sama tidak berulang dan ada juga yang mencadangkan agar pengunjung ke kawasan perkuburan menutup pintu masuk setiap kali hendak masuk atau keluar dari kawasan tanah perkuburan itu.

    “Pihak berkuasa sepatutnya memasang penghadang di pintu masuk yang mudah dibuka dan ditutup oleh pengunjung bagi menghalang haiwan berkaki empat daripada masuk ke kawasan perkuburan tersebut,” kata salah satu komen dari kumpulan WhatsApp itu.

    Salah sebuah kubur yang tanahnya digali permukaannya dalam kejadian yang berlaku Tanah Perkuburan Islam Terunjing.
    Tanah Perkuburan Islam Terunjing di mana kejadian tersebut berlaku.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda