Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Angkasawan AS, Rusia berlepas ke ISS

    BAIKONUR, KAZAKHSTAN, 21 SEPT – Angkasawan Amerika Syarikat (AS) dan Rusia dijangka berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) hari ini dengan penerbangan kendalian Rusia meskipun ketegangan yang meningkat di antara Moscow dan Washington berhubung serangan Rusia ke atas Ukraine.

    Angkasawan NASA Fran Rubio serta Sergey Prokopyev dan Dmitry Petelin dari Rusia dijadual berlepas dari kosmodron Baikonur di Kazakhstan pada 1354 GMT, menurut agensi angkasa Rusia Roscosmos.

    Rubio akan menjadi angkasawan AS pertama yang berlepas ke ISS menggunakan roket Rusia Soyuz sejak Presiden Vladimir Putin menghantar tentera ke Ukraine pada 24 Februari.

    Sebagai respons, ibu negara barat termasuk Washington telah menghukum Moscow dengan mengadakan sekatan ketat dan hubungan dua hala telah merosot.

    Berikutan penerbangan Rubio, satu-satunya angkasawan wanita Rusia Anna Kikina dijangka berlepas ke stesen orbit itu pada awal Oktober dengan menaiki kapal angkasa SpaceX Crew Dragon.

    Dia akan menjadi angkasawan profesional wanita kelima dari Rusia atau Kesatuan Soviet yang berlepas ke angkasa lepas, dan warga Rusia pertama yang menaiki kapal angkasa SpaceX, syarikat milik jutawan AS Elon Musk.

    Dengan kedua-dua penerbangan dijangka diteruskan, angkasawan Rusia dan Barat telah berusaha mengelak daripada terjerumus dalam konflik yang telah membelenggu negara-negara di Bumi, terutamanya apabila berada di orbit bersama.

    Satu kolaborasi di antara AS, Kanada, Jepun, Agensi Angkasa Eropah dan Rusia, ISS dibahagikan kepada dua bahagian: Segmen Orbit AS dan Segmen Orbit Rusia. – AFP

    Angkawasan Rusia Sergey Prokopyev (te-ngah), Dmitri Petelin (kanan) dan Frank Rubio dari NASA berjalan sebelum pelancaran di Baikonur, Kazakhstan kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...