Tuesday, March 18, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angkasawan AS terkandas dijadual pulang hari ini

    WASHINGTON, 17 MAC – Dua angkasawan Amerika Syarikat (AS) yang terkandas lebih sembilan bulan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dijadual pulang ke bumi esok malam, menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

    Butch Wilmore dan Suni Williams akan dibawa pulang bersama seorang lagi angkasawan AS dan seorang angkasawan Roscosmos dengan menaiki kapsul SpaceX Crew Dragon, yang tiba di ISS kelmarin.

    Kedua-dua angkasawan itu terkandas sejak Jun tahun lalu selepas kapal angkasa Boeing Starliner yang mereka uji dalam penerbangan kru sulungnya mengalami masalah sistem pendorongan dan dianggap tidak selamat untuk penerbangan pulang.

    Dalam satu kenyataan malam kelmarin, NASA memaklumkan pihaknya telah mempercepatkan jadual kepulangan angkasawan terbabit ke bumi dengan sasaran pendaratan di lautan berhampiran pantai Florida pada kira-kira 5:57 petang esok.

    Pendaratan sepatutnya berlaku pada Rabu atau selepasnya, tetapi kemudian dipercepatkan esok.

    “Sasaran pemulangan yang dikemas kini ini memberi masa kepada kru ISS untuk menyelesaikan tugasan penyerahan serta memastikan fleksibiliti operasi sebelum keadaan cuaca yang dijangka kurang baik menjelang akhir minggu ini,” kata NASA.

    Angkasawan NASA, Nick Hague dan angkasawan Roscosmos, Aleksandr Gorbunov, turut dijadual pulang dengan kapsul Dragon, dengan perjalanan itu akan disiarkan secara langsung bermula malam ini ketika persiapan penutupan ruang kapsul dilakukan.

    Bagi Wilmore dan Williams, kepulangan itu menandakan berakhirnya tempoh sembilan bulan mereka terkandas di ISS, yang pada asalnya hanya dijadualkan sebagai misi pulang pergi selama beberapa hari sahaja.

    Mereka terpaksa menjalani tempoh misi yang jauh lebih lama berbanding giliran standard ISS yang biasanya sekitar enam bulan. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda