MOSCOW, 27 SEPT – Dua orang angkasawan Rusia dan seorang ahli angkasa Amerika mendarat kembali ke bumi hari ini selepas menghabiskan setahun di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), kata agensi angkasa Rusia, Roscosmos.
“Angkasawan Roscosmos, Sergei Prokopyev dan Dmitry Petelin serta ahli angkasa NASA, Francisco Rubio, yang menghabiskan setahun di ISS, telah mendarat berhampiran bandar Jezkazgan di Kazakhstan,” lapor Roscosmos.
Mereka menggunakan pesawat angkasa, Soyuz MS-23 dan tiba di Bumi pada jam 1117 GMT dalam pendaratan yang berlangsung dalam ‘keadaan normal’.
Roscosmos menyatakan bahawa Prokopyev dan Petelin telah menghabiskan ‘370 hari, 21 jam, dan 22 minit di angkasa – penerbangan terpanjang di bawah program ISS’.
NASA juga mengesahkan pendaratan itu.
“Frank Rubio kini berada di Bumi selepas 371 hari,” ujar NASA di platform X, sebelumnya dikenali sebagai Twitter.
“Ini adalah penerbangan angkasa terpanjang bagi mana-mana angkasawan NASA kami,” katanya.
Tiga angkasawan itu telah melakukan perjalanan ke ISS pada tahun lalu dengan menggunakan Soyuz Rusia, dalam misi yang sepatutnya berlangsung selama enam bulan. – AFP
