PUSAT ANGKASA KENNEDY, AMERIKA SYARIKAT, 31 MEI – Dua orang angkasawan veteran NASA berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa kelmarin selepas SpaceX milik Elon Musk menjadi syarikat komersial pertama yang melancarkan roket membawa manusia ke orbit, mencatat era baharu dalam perjalanan angkasa lepas.
Roket Falcon 9 SpaceX yang membawa angkasawan Robert Behnken dan Douglas Hurley berlepas dalam kepulan asap dengan api oren terang dari Pusat Angkasa Lepas Kennedy, Florida untuk perjalanan 19 jam ke stesen angkasa.
“Mulakan perjalanan,” beritahu Hurley, komander misi, kepada kawalan misi SpaceX di Hawthorne, California, sebelum berlepas pada 3:22 petang dari Landas Pelancaran 39A, NASA.
Pelancaran SpaceX adalah yang pertama oleh angkasawan Amerika dari AS sejak progam ulang-alik angkasa berakhir pada tahun 2011 dan penerbangan pertama yang dilancarkan oleh syarikat swasta.
“Saya benar-benar emosi,” kata Musk. “Sudah 18 tahun berusaha untuk mencapai matlamat ini”.
“Ini diharapkan menjadi langkah pertama dalam perjalanan menuju peradaban di Marikh,” kata pengasas SpaceX.
Pentadbir NASA, Jim Bridenstine mengatakan bahawa ia adalah ‘hari besar’ untuk NASA dan SpaceX dan ‘pencapaian penting bagi negara’.
“Kami belum meraikannya,” Bridenstine memberi amaran. “Kami akan meraikan selepas mereka pulang dengan selamat”.
Dalam wawancara singkat dari angkasa lepas, Hurley berkata bahawa sejajar dengan tradisi untuk angkasawan memberikan nama kepada kapal angkasa mereka, beliau dan Behnken telah menamakan kapsul Kru Dragon ‘Endeavour’.
Behnken berkata kapsul SpaceX adalah ‘jauh berbeza daripada nama-nya’ kerana ia mempunyai skrin paparan sentuhan”.
Misi, yang digelar ‘Demo-2,’ mengakhiri monopoli kerajaan dalam pener-bangan angkasa dan merupakan penerbangan ujian terakhir sebelum NASA mengesahkan kapsul SpaceX untuk misi kru biasa. – AFP