Thursday, September 19, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angkasawan Polaris Dawn kembali ke bumi

    WASHINGTON, 15 SEPT – Angkasawan dalam misi angkasa lepas persendirian Polaris Dawn yang mencipta sejarah telah mendarat berhampiran hujung selatan Florida hari ini, selepas perjalanan lima hari yang termasuk aktiviti berjalan di angkasa komersial pertama di dunia, lapor agensi berita Jerman (dpa).

    Kapsul SpaceX Crew Dragon yang membawa empat angkasawan itu mendarat di Teluk Mexico sekitar pukul 3:30 pagi (0730 GMT), menurut pengawal misi.

    Jutawan teknologi kewangan, Jared Isaacman mengetuai penerbangan sewa itu, dengan kerjasama pengasas SpaceX Elon Musk yang kekal berada di darat.

    Isaacman, bersama angkasawan swasta Scott ‘Kidd’ Poteet, Sarah Gillis dan Anna Menon, berlepas menaiki kapal angkasa Crew Dragon dengan roket Falcon 9 dari Tanjung Canaveral di Florida Selasa lalu.

    Crew Dragon naik ke ketinggian kira-kira 1,400 kilometer iaitu lebih tinggi daripada mana-mana penerbangan dengan anak kapal sejak misi ke bulan Apollo pada awal 1970an dan lebih tiga kali ganda ketinggian Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

    Bahagian paling berisiko dalam usaha itu berlaku Khamis lalu, apabila Isaacman diikuti oleh Gillis, melakukan aktiviti berjalan di angkasa komersial pertama di dunia.

    Angkasawan amatur itu tidak terapung bebas di angkasa semasa aktiviti berkenaan yang berlangsung kira-kira 20 minit bagi kedua-dua Isaacman dan Gillis. Mereka kekal berpegang pada tangga khas yang keluar dari kapsul.

    Memandangkan Crew Dragon tidak mempunyai sendat udara seperti ISS, keempat-empat kru termasuk bekas juruterbang jet Poteet dan pekerja SpaceX, Menon perlu memakai sut angkasa.

    Dengan pintu kapsul dibuka, mereka terdedah kepada vakum angkasa, dan tiada udara untuk bernafas dalam kabin. – Bernama

    Gambar menunjukkan kapsul (tengah) yang membawa Isaacman bersama kru lainnya selepas ia mendarat di Teluk Mexico berhampiran Dry Tortugas Florida pada 15 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda