Tuesday, March 18, 2025
22.6 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

Angkasawan pulang dengan selamat

WASHINGTON, 3 OGOS – Kapal angkasa Amerika pertama yang membawa kru terbang ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa selama hampir sedekad selamat pulang ke bumi kelmarin dan mendarat di Teluk Mexico.

Misi yang dijalankan bersama oleh NASA dan syarikat swasta SpaceX, menunjukkan yang Amerika Syarikat (AS) mempunyai kapasiti sekali lagi untuk menghantar angkasawannya ke angkasa dan membawa mereka pulang.

SpaceX Crew Dragon Endeavour mendarat di perairan luar Pensacola, Florida pada jam 2:48 petang, dengan disokong empat payung terjun.

Ia adalah pendaratan pertama di air bagi kapal angkasa AS bersama kru sejak misi Apollo-Soyuz 1975.

“Ia benar-benar satu penghormatan dan keistimewaan,” kata juruterbang Doug Hurley, yang menyertai misi di sisi komander Bob Behnken.

“Bagi pihak NASA dan pasukan SpaceX, selamat datang ke planet bumi dan terima kasih kerana menerbangkan SpaceX,” balas Mike Heiman dari SpaceX, diiringi gelak tawa dari bilik kawalan. Flotila bot awam menghampiri zon pendaratan ketika sebuah kapal pemulihan berkejar ke kapsul itu dan menaikkannya menggunakan kren.

Pengawal Pantai berkata ia telah memberi amaran kepada orang ramai untuk menjauhi kapsul itu namun ‘banyak bot’ tidak mengendahkan amaran tersebut.

“Kapsul itu berada di air tersebut dalam tempoh yang agak lama,” kata pentadbir NASA, Jim Bridenstine, sehingga mendorong bot-bot mendekatinya. Selepas satu jam mendarat, angkasawan keluar dari kapsul dan dibawa menuju ke pesisir menggunakan helikopter.

Mereka bersatu semula bersama keluarga mereka di Houston, di mana mereka berjalan keluar dari pesawat dalam keadaan fizikal yang amat baik dan penuh bersemangat di pangkalan tentera. – AFP

Robert Behnken (kiri) dan Douglas Hurley dilihat berada di dalam kapal angkasa SpaceX Crew Dragon Endeavour selepas mendarat di Teluk Mexico luar pantai Pensacola, Florida pada 2 Ogos. – AP
- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda