Saturday, January 18, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angkasawan terkandas berjalan di ruang angkasa selepas 7 bulan

    FLORIDA, 17 JAN – Salah seorang daripada dua angkasawan NASA yang terkandas menikmati perubahan pemandangan yang amat dinanti-nantikan kelmarin, apabila dia keluar untuk menjalani aktiviti berjalan angkasa pertama sejak tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa lebih tujuh bulan lalu.

    Suni Williams, komander stesen itu, menjalankan kerja pembaikan luar yang tertangguh bersama angkasawan NASA, Nick Hague. Mereka keluar dari stesen ketika makmal orbit itu meluncur pada ketinggian 260 batu di atas Turkmenistan.

    Williams berpeluang melihat secara dekat kapsul SpaceX yang akan membawanya pulang pada musim bunga ini, yang terapung pada beberapa kaki dari kapal angkasa itu ketika dia menghadapi kesukaran dengan satu tugasan. Namun, akhirnya dia berjaya menyelesaikannya tanpa menjejaskan perjalanannya.

    Rancangan yang dijadual memerlukan Williams keluar semula minggu hadapan bersama Butch Wilmore untuk satu lagi aktiviti berjalan di angkasa. Kedua-dua mereka menggunakan kapsul Starliner baharu keluaran Boeing pada Jun lalu dalam apa yang sepatutnya menjadi penerbangan ujian selama seminggu.

    Namun, masalah pada Starliner menyebabkan kepulangan mereka tertangguh, dan NASA memutuskan agar kapsul itu kembali tanpa penumpang. Kemudian, pelancaran pengganti mereka oleh SpaceX turut ditangguhkan, menjadikan kedua-dua mereka hanya dijangka pulang pada penghujung Mac atau awal April, sepuluh bulan selepas pelancaran.

    Ia merupakan aktiviti berjalan di angkasa pertama oleh angkasawan NASA sejak aktiviti sebelumnya dibatalkan pada musim panas lalu. Aktiviti berjalan di angkasa oleh angkasawan Amerika Syarikat telah dihentikan sementara selepas berlaku kebocoran air dalam ruang udara daripada saluran penyejukan pakaian angkasawan. NASA menyatakan bahawa masalah tersebut telah diperbaiki. – AP

    Suni Williams bekerja di luar Stesen Angkasa Antarabangsa semasa berjalan di luar angkasa pada 16 Januari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda