DUBAI, 7 APRIL – Pusat Angkasa Mohammed Bin Rashid (MBRSC) Emiriah Arab Bersatu (UAE) kelmarin mengumumkan pemilihan Sultan AlNeyadi sebagai angkasawan pertama Arab yang melakukan spacewalk semasa Ekspedisi 69 di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), yang dijadualkan pada 28 April.
Menurut Agensi Berita Emirates (WAM), UAE akan menjadi negara ke-10 yang melakukan spacewalk yang juga dikenali sebagai Extravehicular Activity (EVA) di ISS.
AlNeyadi akan menjadi sebahagian daripada EVA ke-262 dalam membantu pemasangan, penyelenggaraan dan penambahbaiklan di stesen angkasa.
Pengerusi MBRSC, Hamad Obaid AlMansoori berkata perjalanan angkasa lepas bersejarah Sultan AlNeyadi adalah bukti dedikasi UAE yang tidak berbelah bahagi untuk melangkah lagi ke depan dalam penerokaan angkasa lepas dan memupuk kerjasama antarabangsa.
“Sebagai angkasawan Arab pertama yang bersedia untuk melakukan EVA, AlNeyadi membawa aspirasi seluruh wilayah dan melambangkan kemungkinan tanpa had dalam pencapaian kami secara kolektif.
“Pencapaian ini juga merupakan penjelmaan visi jangka panjang kami untuk mengukuhkan kedudukan UAE sebagai peneraju global dalam angkasa, sains dan teknologi, dan pada masa yang sama dapat terus memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk mengejar pengetahuan dan inovasi tanpa henti,” kata Hamad.
Angkasawan yang dipilih untuk berjalan di angkasa lepas di ISS menjalani proses pemilihan yang ketat berdasarkan kemahiran, pengalaman dan kebolehan mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran ruang angkasa yang mencabar. – Bernama
