WASHINGTON, 21 APRIL – Kek, hadiah dan sambutan sederhana bersama keluarga mungkin menjadi gambaran bagi ramai warga emas ketika menyambut ulang tahun ke 70 mereka.
Namun, bagi seorang angkasawan NASA yang paling lama berkhidmat, Don Pettit, telah menyambut ulang tahunnya yang ke 70 ketika kapal angkasanya kembali ke Bumi, menamatkan misi tujuh bulan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Kapsul Soyuz yang telah membawa rakyat Amerika itu bersama dua angkasawan Rusia telah selamat mendarat di Kazakhstan pada hari ulang tahun penting Pettit, Ahad lalu.
Menurut agensi angkasa Rusia, Roscosmos, “Pada jam 4:20 waktu Moscow, kapal pendaratan Soyuz MS-26 yang membawa Alexei Ovchinin, Ivan Vagner dan Donald (Don) Pettit telah mendarat berhampiran dengan bandar Zhezkazgan di Kazakhstan.”
Sepanjang 220 hari di angkasa, Pettit dan rakan sepasukannya, Ovchinin dan Vagner, telah mengelilingi Bumi sebanyak 3,520 kali dan menempuh perjalanan sejauh 93.3 juta batu sepanjang misi mereka.

Ini merupakan penerbangan angkasa lepas yang keempat bagi Pettit dan beliau telah menghabiskan lebih daripada 18 bulan berada di orbit sepanjang 29 tahunnya kerjayanya.
Ketiga-tiga mereka mendarat di kawasan terpencil kira-kira tiga jam selepas berlepas dari stesen angkasa. Imej NASA menunjukkan kapsul kecil itu turun ke Bumi dengan payung terjun sambil berlatarbelakangkan cahaya matahari terbit. Para angkasawan menunjukkan isyarat ‘bagus’ ketika pasukan penyelamat mengangkat mereka dari kapsul ke khemah perubatan.
Menurut NASA, sepanjang berada di ISS, para angkasawan menjalankan penyelidikan dalam bidang seperti teknologi penulenan air, pertumbuhan dalam pelbagai keadaan serta tingkah laku api dalam keadaan mikrograviti.
Perjalanan tujuh bulan mereka hampir menyamai tempoh sembilan bulan yang terpaksa dilalui dua angkasawan NASA, Butch Wilmore dan Suni Williams, yang terkandas di makmal orbit itu selepas kapal angkasa yang mereka uji mengalami masalah teknikal dan tidak layak untuk penerbangan pulang ke Bumi. – AFP