Friday, March 21, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angkat figura sebagai ayah dalam single baharu

    Kali pertama mencipta lagu untuk penyanyi kanak-kanak, Mark Adam mengimbas pengalaman dibesarkan ibu bapa melalui lagu Selamanya Bersama dendangan Angelica Petra Battle, berusia sembilan tahun.

    Mengangkat kisah anak kehilangan ibu bapa lalu dibesarkan lelaki lain yang akhirnya dianggap seperti ayah sendiri, Mark mengaku Selamanya Bersama cukup bererti.

    Penyanyi, komposer dan penyampai radio Hot FM itu juga menyumbangkan vokal dalam single berkenaan.

    Mark berkata, lagu Selamanya Bersama cukup istimewa apatah lagi didendangkan Angel yang dianggap memiliki vokal unik.

    “Apabila ibu Angel meminta saya mencipta lagu untuk anaknya, saya banyak mengkaji karakter kanak-kanak ini.

    Mark mengaku berdepan cabaran memulakan proses rakaman Selamanya Bersama berikutan Angle masih ‘hijau’ dan mempunyai ‘mood’ tersendiri. – Agensi

    “Selain itu, saya menyingkap kenangan dibesarkan ibu bapa. Jadi, saya tidak mengambil masa yang lama untuk menghasilkan lagu dan lirik single ini,” katanya kepada media.

    Mark mengaku berdepan cabaran memulakan proses rakaman berikutan Angle masih ‘hijau’ dan mempunyai ‘mood’ tersendiri.

    “Namun, lama-kelamaan Angel mula faham muzik dan proses rakaman… Akhirnya, proses jadi lancar.

    “Kadang-kadang kanak-kanak tidak boleh dipaksa dan kena ikut ‘mood’ mereka. Alhamdulillah, Angel berbakat dan mudah faham apa yang dipelajari,” katanya.

    Sementara itu, ibu Angel, Datuk Rosmar Ayu Mokhtar, berkata bakat anaknya mula dikesan apabila sering menyanyi di rumah.

    “Pada fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu, saya dan anak-anak banyak meluangkan masa di rumah. Kami melakukan pelbagai aktiviti termasuk karaoke.

    “Sejak itulah saya lihat potensi anak-anak termasuk Angel yang sangat berbakat dalam bidang nyanyian. Saya hanya mahu memberi sokongan kepadanya,” katanya.

    Menyedari bakat anak-anak termasuk Angel, Rosmar Ayu menghubungi beberapa guru vokal untuk meningkatkan skil nyanyian mereka.

    Tambahnya, hanya Mark yang setuju menerima Angel dan adik-beradiknya yang lain sebagai pelajar atau anak didik.

    “Selepas beberapa lama menghadiri kelas vokal, saya dan Mark berbincang menghasilkan lagu untuk Angel.

    “Ketika itu, Mark mendapati vokal Angel bertambah baik dan sudah bersedia untuk memasuki studio rakaman,” katanya yang turut memberi idea kepada penghasilan lagu itu yang ditujukan kepada ayahnya.

    Proses rakaman single Selamanya Bersama dilakukan Disember tahun lalu disusuli video muzik Februari lalu yang kini boleh ditonton di akaun YouTube, D’Ayu Music. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda