Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angkatan Laut India dikerah selepas kebakaran kapal kontena

    NEW DELHI, 10 JUN – India kelmarin telah mengerahkan pesawat pengawal pantai dan sebuah kapal perang selepas sebuah kapal kontena berdaftar Singapura terbakar di luar pantai selatan, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, dengan empat anak kapal masih hilang.

    Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata dalam satu kenyataan, terdapat ‘beberapa kecederaan’ dalam kalangan anak kapal dan empat lagi belum dapat dikenal pasti.

    Gambar yang diambil oleh pesawat pengawal pantai menunjukkan kepulan asap hitam tebal dan kontena yang dilihat terpelanting akibat letupan kuat di atas kapal.

    “Kejadian kebakaran dilaporkan di atas kapal kontena berdaftar Singapura MV Wan Hai 503,” menurut kenyataan Kementerian Pertahanan India dan menambah mereka telah mengalihkan sebuah kapal pembinasa untuk membantu kapal yang dalam kesusahan itu.

    Kementerian itu berkata kapal sepanjang 268 meter itu telah terbakar kira-kira 78 batu nautika dari Pelabuhan Beypore.

    MPA Singapura memaklumkan, daripada keseluruhan 22 anak kapal, 18 telah ‘dikenal pasti dan sedang dipindahkan dari bot penyelamat ke kapal yang lalu’, sambil menegaskan ‘beberapa kecederaan telah dilaporkan dalam kalangan mereka’.

    Menurut MPA, empat anak kapal masih belum dapat dikesan.

    “Penjaga pantai India dan tentera laut India sedang memberi bantuan kepada anak kapal serta menjalankan operasi pencarian dan penyelamatan bagi mereka yang hilang,” kata MPA. – AFP

    Sebuah kapal kontena berdaftar Singapura yang terbakar di luar pantai Kerala, India, pada 9 Jun. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda