Gosip cinta bertebaran bersama pelakon wanita yang bergandingan dalam drama dilihat salah satu strategi pelakon baharu, Aniq Suhair, 21, untuk memperoleh populariti sepantas kilat.
Namun, Aniq berkata, dia bukannya sengaja mencipta sensasi, sebaliknya apa yang terjadi tidak sedikit pun dirancang.
Aniq pernah dikaitkan menjalin hubungan dengan anak jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida iaitu Cik B apabila bergandingan dalam drama Lelaki Lingkungan Cinta. Kemudiannya, dikaitkan pula dengan Intan Najuwa.
“Saya sebenarnya tidak mengharap atau sengaja mencipta kontroversi. Malah, saya sendiri tidak tahu apa yang saya buat hingga menjadi kontroversi.
“Jujurnya, saya bukan jenis suka mencetuskan gosip sensasi sebagai jalan mudah mencipta populariti. Gosip bersama Cik B terjadi secara kebetulan, di mana saya mendapat watak berkahwin dengannya dalam drama Lelaki Lingkungan Cinta. Ia menyebabkan menjadi bualan ramai.

“Saya akui, gosip cinta ada positif dan negatif.
Bagaimanapun, saya tolak perkara negatif, hanya ambil positif sahaja,” katanya kepada wartawan.
Aniq atau nama sebenarnya, Muhammad Aniq Suhair Mohd Salleh berkata, dia seboleh-bolehnya tidak mahu dikenali dengan gosip atau kontroversi murahan.
“Disebabkan itu, saya mahu lebih berhati-hati pada masa hadapan supaya tidak terjebak dengan gosip cinta yang tidak di undang.
“Saya masih baharu dan perlukan masa untuk memerhati permainan dalam industri seni. Namun, saya tidak nafikan, kontroversi sedikit sebanyak menjadikan nama saya mula dikenali.
“Jadi, saya akan lebih berjaga-jaga. Saya tidak mahu tawan hati peminat dengan kontroversi tidak baik,” katanya.
Baru setahun mencipta nama, Aniq tidak pernah meletakkan harapan namanya dikenali begitu pantas. Bagaimanapun, bersyukur cubaannya sebagai pelakon amat dihargai.
Ekoran itu, katanya, dia berjanji akan melakukan lebih baik pada masa hadapan dan dapat membanggakan industri kreatif.
“Insya-Allah, saya mahu berusaha menyemarakkan dan membanggakan industri kreatif. Saya mahu menjadi pelakon yang baik di mata semua orang,” katanya. – Agensi