Sunday, November 17, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aniq Suhair sudah tidak terganggu kontroversi hamilkan wanita

    Pelakon Malaysia, Aniq Suhair sudah tidak berasa terganggu dengan kontroversi mendakwa beliau menghamilkan seorang wanita dan memilih membiarkan isu itu berlalu.

    Disebabkan itu juga, Aniq atau Muhammad Aniq Suhair Mohd Salleh, 24, memilih mendiamkan diri dan kini dalam tempoh berehat.

    Memetik laporan mStar, Aniq mengongsikan, “Buat masa sekarang saya masih berehat kerana terpaksa fokus dalam beberapa hal tapi kerja-kerja lain seperti kempen drama masih lagi berjalan.

    “Berkenaan kontroversi melanda itu saya sudah tak rasa apa-apa dah. Saya sudah tak terganggu dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

    “Saya akui hal itu memang mencemarkan nama baik saya tapi saya memilih untuk lupakan dan pandang ke depan,” katanya.

    Aniq berkongsi perkara itu semasa ditemu bual menerusi program Melodi yang disiarkan pada petang kelmarin.

    Aniq menegaskan semua tuduhan dilemparkan terhadapnya tidak berasas malah tidak benar sama sekali.

    Kata Aniq, beliau enggan bersuara kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan yang sememangnya sedang hangat pada ketika itu.

    “Saya dituduh pukul, belasah, dera dan sebagainya sedangkan semua itu tidak benar sama sekali. Mana dekat dan rapat dengan saya pastinya tahu saya macam mana.

    “Tapi kalau saya cerita dan luahkan secara terbuka sekali pun benda itu hanya akan memburukan keadaan.

    “Apa pun persepsi dan tanggapan orang terpulanglah masing-masing,” katanya.

    Dalam pada itu, Aniq juga memberitahu telah menyerahkan perkara tersebut kepada peguam untuk proses tindakan undang-undang.

    Malah beliau juga enggan kontroversi itu menjadi bualan lagi kerana mahu membina kerjaya yang lebih baik.

    “Bila kontriversi ini melanda saya memilih untuk diam sebab saya tak nak keruhkan lagi keadaan atau memanjangkan lagi.

    “Saya percaya dalam setiap ujian itu ada hikmah dia dan buat saya cermin semula diri saya.

    “Saya kalau boleh tak nak isu ini berbangkit semula dan berpanjangan. Saya nak bina karier yang lebih baik,” ujarnya.

    Sebelum ini, Aniq dikaitkan melakukan hubungan terlarang sehingga menyebabkan seorang wanita hamil namun menafikan perkara itu.

    Wanita tersebut kemudiannya membuat permohonan maaf dan menjelaskan tuduhan dibuat terhadap Aniq adalah fitnah disebabkan menaruh hati terhadapnya.

    Bagaimanapun tidak lama selepas itu, wanita tersebut membuat pusingan ‘U’ apabila kembali dengan dakwaan baru menuduh beliau dimanipulasi aktor terbabit.

    Malah beliau juga didakwa melakukan kekerasan terhadap teman wanitanya sehingga menyebabkan luka di tubuh badannya.

    Terbaharu, wanita berkenaan nekad menyelesaikan kes tersebut di mahkamah dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan. – Agensi

    Aniq Suhair tidak mahu mengeruhkan keadaan lagi yang sedang panas. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda