Pelakon Aniq Suhair tidak pernah berkecil hati apabila ada dalam kalangan rakan artis seusia atau yang masih baharu lebih cepat mencipta nama berbanding dirinya.
Kata Aniq atau Aniq Suhair Mohd Salleh, 23, kehadiran muka baharu dalam industri seni ini merupakan satu persaingan sihat dan bukannya musuh. Dalam masa sama dia juga percaya kepada rezeki yang telah tertulis untuk seseorang itu menyinar sekali gus mencipta populariti.
“Rezeki tidak pernah salah alamat. Dikenali atau tidak itu adalah rezeki masing-masing. Kalau sudah ditetapkan seorang pelakon itu popular dengan hanya satu drama, itu sudah tertulis buatnya.
“Saya melihat kehadiran ramai pelakon baru itu sebagai satu persaingan sihat. Mungkin belum masa untuk saya betul-betul popular.
“Kepada mereka yang cepat popular, saya ucapkan tahniah kerana mereka telah melakukan kerja dengan baik. Saya harap dapat bekerjasama dengan rakan-rakan sama yang seangkatan dalam industri,” katanya kepada mStar.
Dalam masa sama Aniq juga tidak mahu dirinya terus dilabel sebagai pelakon yang hanya bersandarkan pada rupa.
Komited terhadap kerjaya seni, aktor ini sedia menggalas pelbagai cabaran dan terbuka untuk mengubah penampilan diri sekiranya menerima watak menuntut dia berbuat demikian. – Agensi