Impian peminat untuk melihat Anis Suraya menyertai sebarang program nyanyian tidak akan berlaku apabila penyanyi itu tidak mahu lagi terlibat dalam bidang seni.
Anis atau Tengku Anis Soraya Tengku Sualaiman, 44, berkata, keputusan berkenaan turut mendapat sokongan ahli keluarga termasuk suaminya.
“Maaf jika ada yang masih menunggu kemunculan Anis di Gegar Vaganza. Ini keputusan Anis sendiri untuk tidak lagi melibatkan diri dalam mana-mana pertandingan nyanyian mahupun industri hiburan.
“Suami juga sokong dengan keputusan ini. Harap persoalan selama ini terjawablah, usah ditanya lagi,” katanya.
Anis mengulas perkara itu gara-gara namanya menjadi sebutan ramai menyertai program Gegar Vaganza (GV) musim ke-11 baru-baru ini.
Meskipun tidak lagi aktif, pelantun lagu Cinta Tersimpul Rapi itu tetap menghargai kesungguhan peminat yang masih menyokong karyanya sehingga kini.
“Ramai muat naik video, gambar dan komen-komen positif tanda sokongan dan galakkan. Terima kasih atas sokongan diberikan.
“Jangan pernah jemu mendengar 30 lagu solo yang pernah dirakamkan bersama SRC pada 1998-2003,” kongsinya.
Untuk rekod, Anis memulakan karier sebagai penyanyi pada 1996 selepas terpilih menyertai pertandingan akhir Sinaran Pasport Kegemilangan pada 1995.
Malah dia juga pernah mengahrumkan nama negara dengan merangkul gelaran juara Voice of Asia di Kazakhstan pada 2000.
Kini, Anis bergelar seorang pensyarah dan guru vokal di sebuah intitusi pengajian tinggi.- Agensi