Penyanyi ternama Malaysia, Anita Sarawak nekad meninggalkan dunia seni bagi memberi fokus kepada kehidupan peribadi bersama suaminya di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Perkara tersebut dikongsi rakan baik Anita yang juga bekas wartawan hiburan New Straits Times (NST), Shuib Taib yang menghubungi penyanyi itu pada November lalu.
Menurut Shuib, Anita kini lebih selesa untuk tidak lagi terlibat dengan dunia glamor seperti mana pernah dikecapi sebelum ini.
Malah kongsinya, Anita kini lebih gemar menghabiskan masa dengan berkebun selain melayani suami iaitu Mahathir Abdullah.
“Dia sudah puas menyanyi dan membuat persembahan di seluruh dunia!
“Sekarang ini dia hanya mahukan kehidupan sederhana dan menjaga suami. Dia suka berkebun,” katanya ketika dihubungi mStar kelmarin.
Shuib menghubungi Anita selepas diminta oleh rakannya iaitu bekas editor hiburan, Roslen Fadzil bagi bertanya tentang satu jemputan untuk mengadakan persembahan di konsert tribute buat komposer terkenal, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan.
Penyanyi lagu Seksis itu bagaimanapun menerusi kiriman WhatsApp melalui Mahathir memaklumkan terpaksa menolak undangan tersebut kerana dia kini sudah bersara.
Bercerita lanjut mengenai komunikasinya dengan Anita, Shuib memberitahu penyanyi itu dalam keadaan baik sekali gus menepis dakwaan dia sedang sakit selain gosip mengatakan sudah bercerai. – Agensi