MIRI, 28 Sept – Majlis Bandaraya Miri (MBM) menangkap sejumlah 921 ekor anjing liar, setakat semalam, di beberapa kawasan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan MBM untuk menangani masalah anjing liar di Bandaraya Miri.
Bandar Miri Adam Yii Siew Sang berkata setakat Ogos 2018, MBM mengeluarkan sejumlah 2,369 lesen anjing dan menasihatkan pemiliknya supaya memastikan anjing peliharaan mereka itu sentiasa berada di kawasan perkarangan rumah.
“MBM serius dalam menangani masalah anjing liar dan akan terus melipatgandakan usaha kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Yii berkata orang ramai perlu segera melaporkan kepada MBM jika terdapat anjing yang mempunyai simptom penyakit di kawasan mereka supaya tindakan segera boleh diambil.
Sekretariat Jawatankuasa Penguruan Bencana Negeri Sarawak dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kuching semalam berkata lebih banyak kawasan yang dilanda penyakit anjing gila diisytiharkan di Sarawak, menjadikan jumlah itu meningkat kepada 41 kawasan, termasuk dua kawasan baharu di Bandaraya Miri. – Bernama