Sunday, November 17, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anjur festival buah-buahan

    KOTA KINABALU, 3 MEI – Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai mencadangkan supaya Festival Nanas dan Buah-Buahan diadakan di Pekan Nabalu di Ranau, bagi menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong serta mempromosi pengusaha tempatan.

    Beliau berkata, Pekan Nabalu, yang terletak sebelum Taman Kinabalu dan Gunung Kinabalu, serta perkampungan sekitarnya, adalah pengeluar utama nanas Sabah.

    Justeru, menganjurkan acara itu adalah langkah yang sesuai untuk mempromosi pengusaha tempatan selain mengetengahkan kawasan luar bandar Sabah sebagai pusat agropelancongan.

    Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu itu berkata, usaha tersebut membolehkan penduduk kampung menjalankan perniagaan berasaskan pelancongan sambil mengusahakan nanas dan tanaman lain, sebagai hobi atau mempelbagaikan pendapatan.

    “Festival ini juga penting dalam memperhebat usaha mempromosi pelancongan Sabah.

    Sebagai contoh, Kiulu ialah pusat pelancongan luar bandar dan hab buah-buahan yang memfokuskan pada ekopelancongan dan agropelancongan.

    “Selain untuk menarik pengunjung dan pelancong, festival nanas akan memberi peluang kepada petani dan usahawan tempatan untuk mempamerkan produk mereka, membina jaringan dengan pemain industri dan meningkatkan jangkauan pemasaran,” katanya dalam kenyataan selepas melancarkan Festival Kaamatan Pekan Nabalu hari ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda