Anjur kejohanan bola sepak 9 orang sepasukan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – TJ Vet muncul juara Kejohanan Bolasepak Sembilan Orang Sepasukan anjuran Majlis Perundingan Kampung Setia A dan Biro Belia 2019 selepas menewaskan Nine Star FT dalam perlawanan akhir di Kompeks Sukan Sungai Kebun, baru-baru ini dan tempat ketiga dimenangi oleh Paguma FT.

Kejohanan yang mengambil masa selama lima hari itu telah disertai oleh 20 pasukan yang dibahagikan kepada empat kumpulan.

Dalam kejohanan ini, ia memberikan kegembiraan berganda buat Pasukan RBV FT yang telah muncul juara plat manakala pemain mereka, Haji Yusli bin Haji Yusup dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan plat tersebut.

Sementara itu, penjaga gol terbaik dianugerahkan kepada Samsol bin Abdul Rahim daripada Pasukan NineStar FT.

Pemenang yang baru dinobatkan, TJ Vet mendominasi kejohanan selepas pengiktirafan pemain terbaik keseluruhan jatuh kepada Pengiran Sallehuddin bin Pengiran Haji Damit sementara Azamanuddin bin Haji Gillen dinamakan sebagai penjaring terbanyak.

Selain itu, Haji Kamal bin Haji Abu Hassan dari Paguma FT juga dinobatkan dengan anugerah pengurus terbaik.

Juara kejohanan bergambar ramai selepas acara penyampaian hadiah. – Gambar Ihsan Majlis Perundingan Kampung Setia A