Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Dalam usaha untuk menyokong pelajar berkeperluan khas, ratusan peserta berkumpul dari awal pagi untuk sama-sama mengambil bahagian dan menjayakan acara larian amal, Run for Inclusion, yang berlangsung di Jerudong Park Playground, hari ini.
Acara larian amal anjuran Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Khas dengan kerjasama Persatuan Orang Kurang Pendengaran Kebangsaan (OKP) adalah juga bersempena 30 tahun Penubuhan Jabatan Pendidikan Khas.
Hadiri selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian acara larian berkenaan ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Korporat), Kementerian Pendidikan, Pengiran Dr Mohamad Iskandar bin Pengiran Haji Petra.

Turut memeriahkan acara berkenaan ialah Ketua-ketua Jabatan di bawah Kementerian Pendidikan, para guru dari Jabatan Pendidikan Khas, wakil-wakil persatuan badan bukan kerajaan yang memberi sokongan kepada pelajar berkeperluan khas, pelajar-pelajar berkeperluan khas di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Khas bersama ibu bapa dan penjaga mereka serta orang awam.
Larian amal itu dianjurkan bersempena Sambutan 30 Tahun Penubuhan Jabatan Pendidikan Khas dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pendidikan khas dan pendidikan inklusif secara menyeluruh selain menggalakkan sokongan berterusan terhadap pelajar berkeperluan khas.
Di samping itu, acara berkenaan juga bertujuan mengumpulkan dana yang akan disalurkan Ke Tabung Pendidikan Khas serta Persatuan Orang Kurang Pendengaran Kebangsaan (OKP).
Acara dimulakan dengan sesi memanaskan badan dan diteruskan dengan pelepasan peserta yang disempurnakan oleh Pengiran Dr Mohamad Iskandar. Larian berkenaan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu 1 kilometer (km) Family Fun Walk yang melibatkan pelajar bersama ibu bapa dan penjaga; Competitive Run sejauh 3 km khusus untuk pelajar berkeperluan khas serta acara Competitive Run sejauh 5 km yang dibukakan kepada orang awam.
Para peserta juga boleh mengikuti pelbagai aktiviti semasa larian amal berkenaan termasuk seperti senamrobik, jualan barangan Jabatan Pendidikan Khas serta vendor-vendor undangan dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran awam tentang pelbagai keperluan pembelajaran di sekolah.


Semua di atas: Antara suasana semasa acara berkenaan.

