Pelakon Anna Jobling, 24, mengambil keputusan menolak semua tawaran lakonan sepanjang Ramadan kali ini kerana mahu meluangkan masa bersama keluarga tercinta.
Anna atau nama lengkap, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman berkata, dia mengambil keputusan itu kerana sudah dua tahun berturut-turut terikat dengan komitmen kerja ketika Ramadan.
“Ramadan ini saya memilih untuk berehat daripada dunia lakonan. Tapi, untuk komitmen sebagai duta, menghadiri sebarang acara dan mesyuarat masih lagi diteruskan.
“Memang saya sengaja tak ambil tawaran lakonan sebab mahu berehat. Sebab kadang-kadang sampai satu tahap perlu ambil masa berehat. Tawaran ada, tapi saya tolak,” katanya kepada BH Online.
Bagi pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris-Portugis ini, masa bersama keluarga begitu penting, lebih lagi, ketika berada dalam bulan mulia, Ramadan.
“Tahun ini saya mahu luangkan lebih masa bersama keluarga. Saya hendak tolong ibu masak nanti. Ditambah pula saya tak berhenti kerja sejak Julai tahun lalu, jadi saya ambil keputusan berehat sekejap. Insya-Allah, saya kembali berlakon selepas Aidilfitri,” katanya yang ditemui pada sidang media memperkenalkan koleksi baju raya kucing 2024 di Coo & Riki Lalaport, baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Anna akan berangkat ke Jakarta, Indonesia selepas Aidilfitri bagi menjalani penggambaran filem bersama produksi negara seberang. – Agensi


