Semakin rancak mengembangkan kerjaya di Indonesia, pelakon Malaysia, Anna Jobling terpaksa akur untuk melupakan seketika waktu berehat panjang.
Bagi Anna atau Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman,25, setiap peluang yang datang harus digunakan sebaik mungkin agar namanya terus mekar dalam industri seni.
“Kadang-kadang selepas habis satu naskhah, kononnya nak rehat tapi tiba-tiba dapat tawaran yang menarik.
“Rasa sayang nak lepaskan, jadi rehat pun tangguh dulu. Saya pun masih muda dan ada tenaga, jadi ambil saja kerja,” katanya kepada mStar.
Dalam masa sama pelakon itu juga sentiasa percaya setiap tawaran kerja yang datang adalah satu rezeki terbaik buatnya.

Meskipun berdepan tekanan dan keletihan, namun itu bukan alasan untuk dia berputus asa.
“Pernah juga terbawa emosi di luar set tapi saya ingatkan diri walaupun penat dan rasa nak mengeluh, tetap kena bersyukur.
“Walaupun ada yang cakap kenapa asyik muka saya saja, itu semua adalah rezeki.
“Saya tak pernah persoalkan atau dengki dengan rezeki orang lain sebab saya percaya rezeki saya tetap milik saya,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, bakat lakonan Anna juga semakin mendapat perhatian produksi Indonesia apabila dia bakal muncul dalam sebuah lagi filem seram sebagai watak utama.
Pernah membintangi dua genre sama sebelum ini, ada juga yang beranggapan Anna cukup sinonim dengan watak sebegitu.
“Mereka kata saya ada muka hantu tapi saya anggap itu sebagai pujian. Kadang-kadang bila saya tak senyum orang ingat saya sombong.
“Tapi sebenarnya tidak, mungkin sebab reaksi muka saya. Kalau jumpa saya, tegur sajalah saya okay sebenarnya,” jelasnya.
Sebelum ini, Anna pernah membintangi dua filem bergenre seram berjudul Sukma dan Lembayung. – Agensi
