LOS ANGELES, 15 OGOS – Pelakon Hollywood, Anne Heche secara rasmi diisytiharkan meninggal dunia, seminggu selepas kereta dipandunya merempuh sebuah rumah. Beliau meninggal dunia pada usia 53 tahun.
Heche sudah hilang semua fungsi otaknya dan menurut undang-undang California, dia dikatakan sudah mati walaupun jantungnya masih berdegup.
Dia meningkat popular di Hollywood menerusi filem era 1990-an seperti Donnie Brasco dan Six Days, Seven Nights dalam gandingan bersama Johnny Depp dan Tommy Lee Jones.
Beliau juga merupakan pelakon I Know What You Did Last Summer.
Anne Heche lahir di Aurora, Ohio Amerika Syarikat pada 25 Mei 1969. Dia mendapat pendidikan di Sekolah Francis W. Palker. Sepanjang hidupnya bergelar sebagai pelakon Hollywood yang memenangi Anugerah Emmy, Heche berdepan dengan pergolakan hidup sama ada dalam hal peribadi mahupun kerjayanya. Dia bertemu dengan Ellen DeGeneres pada tahun 1997 dalam sebuah pesta dan mereka menjalin hubungan sejak itu.
Selepas berpisah dengan Ellen, Heche mengalami kecelaruan minda dan perasaan serta akan bercakap mengenai masalah kesihatan mentalnya secara terbuka.
Pada 5 Ogos yang lalu, Anne Heche terlibat dalam kemalangan kenderaan yang serius menyebabkan kereta yang dipandunya hangus dan dirinya melecur. Susulan itu, dia mengalami kecederaan otak yang serius dan dalam keadaan koma. Sementara itu, Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) berkata siasatan terhadap kemalangan membabitkan aktres itu pada 5 Ogos berakhir selepas disahkan pelakon itu meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya. – AP
