Petang hujung minggu lalu, saya singgah berehat di kampung saudara saya di Daerah Tutong.
Kelihatan ada sekumpulan anak remaja, sedang asyik bermain bola.
Padang itu tak jauh dari rumah peninggalan arwah nini laki dan nini bini. Dahulunya, di situlah kami bermain bola juga. Sekarang, giliran budak-budak kampung pula.
Suara mereka kuat, penuh gelak ketawa dan sorakan. Padang itu tak rata, rumput panjang di tepi dan ada lopak air di tengah, tapi tetap meriah.
Tiba-tiba, azan Maghrib berkumandang dari surau kampung. Suaranya jelas kedengaran hingga ke padang tersebut.

Saya tunggu-tunggu kalau ada yang akan berhenti bermain, tapi tiada siapa pun yang berbuat demikian.
Seorang dua sempat menoleh ke arah surau, tapi kemudian sambung balik berlari. Permainan diteruskan seperti biasa.
Saya duduk diam di atas bangku batu, terkenang arwah nini laki. Dia dulu tegas orangnya.
Kalau waktu Maghrib kami masih di padang, dia akan datang dan panggil kami balik.
Pernah sekali dia bersuara kuat sambil memegang tongkatnya, dengan berkata, “Baik tah sembahyang, sebelum kamu gol ke dalam kubur.”
Masa itu kami terus berhenti bermain dan balik mandi dan ke surau. Sekarang, tiada lagi suara seperti itu. Tiada siapa yang menegur. Budak-budak bebas buat keputusan sendiri.
Tapi dalam hati saya, timbul rasa risau. Risau kalau azan sudah tidak dihormati. Risau kalau padang jadi lebih penting daripada sejadah.
Saya tak mahu salahkan mereka, mungkin mereka belum sedar. Tapi saya percaya, kalau ada yang mula menegur dengan baik, mereka akan faham.
Bola boleh ditendang bila-bila. Tapi Maghrib cuma sekejap. Dan seperti kata arwah nini — kalau leka sangat kejar gol di padang, takut nanti kita ‘gol’ ke tempat yang kekal tanpa sempat bersedia.
Rahmandinho






