Izinkan saya berkongsi pengalaman yang mungkin bagi sesetengah orang dianggap perkara biasa, tetapi bagi saya, ia sudah cukup mempengaruhi kehidupan peribadi saya dalam perkahwinan.
Saya berharap dengan berkongsi kisah ini, saya dapat mendengar pendapat dan nasihat daripada mereka yang pernah melalui situasi serupa.
Sejak berkahwin, suami saya memang seorang yang cukup mengambil berat – mungkin pada mulanya saya anggap itu satu tanda sayang.
Namun, lama-kelamaan, rasa kasih itu berubah menjadi sesuatu yang lebih mengikat kebebasan saya.
Setiap kali saya mahu keluar rumah, walaupun sekadar ke kedai berhampiran atau bertemu rakan-rakan, suami akan meminta saya untuk melaporkan segala pergerakan saya.
Bukan sahaja di mana saya berada, malah dengan siapa saya bersama dan berapa lama saya akan berada di luar.
Malah, jika terlupa menghantar mesej, saya akan menerima panggilan bertalu-talu bertanyakan kenapa saya lambat memberikan maklumat.
Pada awalnya, saya cuba memahaminya dan beranggapan ini hanya perasaan risau seorang suami. Namun, setelah beberapa bulan, saya mula merasakan beban dari keperluan ini.
Saya mula tertanya-tanya, adakah saya benar-benar hidup dalam kebebasan atau sebaliknya terperangkap dalam sebuah perkahwinan yang menuntut laporan setiap kali saya melangkah keluar dari pintu rumah?
Perasaan ini semakin berat. Saya mula merasa was-was, adakah ini tanda suami yang posesif atau sekadar seorang yang terlalu prihatin? Saya juga risau, jika ini berterusan, apa kesannya pada diri saya dan hubungan kami?
Adakah saya yang terlalu berlebihan, atau sememangnya suami saya perlu memahami bahawa setiap individu juga memerlukan ruang peribadi tanpa perlu diawasi setiap masa?
Adakah ini suatu yang normal dalam perkahwinan, atau sebenarnya saya perlu berbincang lebih serius dengan suami mengenai isu ini?
Wani
NASIHAT DANG MP
Terima kasih kepada Wani kerana berkongsi pengalaman awda. Sememangnya hidup dalam keadaan terkawal oleh suami seperti awda jelaskan amat merimaskan dan boleh mengganggu fikiran dan ketenteraman diri.
Mungkin langkah pertama yang boleh diambil adalah untuk berbincang dengan suami tentang perasaan ini. Ceritakan pendapat Wani dengan lembut dan jelas, tanpa menyalahkannya. Cubalah untuk menjelaskan bagaimana keperluan untuk melaporkan pergerakan tersebut membuatkan Wani merasa tertekan. Mungkin dia tidak sedar bahawa tindakannya memberi kesan yang negatif kepada awda.
Awda juga boleh bertanya kepadanya mengapakah dia bersikap demikian? Adakah dia menyimpan syak wasangka terhadap awda? Atau adakah dia terlalu bimbang akan keadaan awda tanpanya? Beri peluang kepadanya untuk bercerita secara jujur tentang tindakannya supaya Wani jelas dengan sebab dia bertindak sedemikian. Awda juga boleh mencadangkan cara lain untuk menunjukkan kasih sayang tanpa perlu mengawasi secara keterlaluan seperti itu.