Oleh Ak Zaki Kasharan
DRAMA Curi-Curi Cinta mengisahkan mengenai seorang wanita yang bernama Intan Raihana yang membenci ibu serta abang kandungnya sendiri kerana menganggap ibu dan abangnya merupakan punca kepada kematian bapanya yang ditimpa kemalangan jalan raya.
Setelah kematian bapanya kehidupan mereka sekeluarga berubah drastik kerana tiada lagi punca pencarian kepada keluarga berkenaan dan akhirnya menjadikan kehidupan mereka menjadi melarat dan miskin.
Kerana tidak menerima kenyataan tersebut Intan berubah menjadi seorang anak yang derhaka dan membenci keluarganya sendiri kerana tidak dapat memberikan kemewahan seperti yang didapatinya semasa ayahnya masih hidup dulu.
Oleh sebab itu Intan yang tumbuh dewasa berubah menjadi wanita materialistik dan ingin mengejar wang dan kemewahan pada lelaki kaya termasuklah Daniel Hakim.
Pelbagai plot rancangan
Meskipun Daniel Hakim merupakan kekasih sepupunya Fariza, Intan tetap berkeras ingin mendapatkan dan mencuri perhatian Daniel Hakim yang saling mencintai sepupunya tersebut.
Dengan kelicikan Intan, suatu hari akhirnya Daniel terperangkap ke dalam perangkap Intan dan terpaksa mengahwininya.
Setelah berkahwin, Daniel yang tidak merasa puas hati bercadang untuk membalas dendam atas perbuatan intan terhadap percintaannya bersama Fariza yang terpaksa diputuskan.
Perbuatan Daniel yang kejam itu pada dirinya akhirnya menghancurkan impian Intan selama ini sehinggalah Intan mula sedar dan berubah setelah diuji dengan banyak dugaan.
Apabila Intan disahkan mengandung, perasaan sayang mula berputik. Namun ego membatasi segalanya.
Hati Intan telah mati untuk Daniel lalu meninggalkan Daniel. Daniel terus mencari Intan untuk memujuk Intan kembali.
Nantikan drama adaptasi novel Curi-Curi Cinta karya Siti Rosmizah yang ditayangkan di Astro Ria di mana menampilkan gandingan Aiman Hakim dan Zahirah Macwilson.
Drama bersiri 28 episod arahan Raja Ahmad Alauddin turut dibarisi pelakon hebat lainnya seperti Talha Harith, Uyaina Arshad, Melanie Tan, Adam Lee, Fauziah Nawi, Izzue Islam, Haneesya, Pablo Amirul, Azri Sabri, Farisha Irwayu, Laila Nasir dan ramai lagi.