LEICESTER, 31 Mac – Pertem-bungan Leicester dengan Stoke Sabtu ini menandakan permulaan satu lagi potensi bulan bersejarah bagi juara Liga Perdana itu ketika mereka menyasarkan survival dan kejutan Eropah.
Baki lapan perlawanan adalah tempoh sibuk bagi pasukan Craig Shakespeare, yang terus mengabungkan perjuangan menentang penyingkiran Liga Perdana dengan perjuangan untuk menghasilkan kejutan dalam Liga Juara-Juara.
Kunjungan Stoke ke Stadium King Power akan diikuti oleh perlawanan penting di gelanggang sendiri menentang Sunderland pertengahan minggu depan, dengan suku akhir Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid juga menanti.
Dan pemain sayap Leicester, Marc Albrighton percaya pasukannya, enam mata di atas zon penyingkiran, akan memasuki tempoh penting dengan prestasi terbaik selepas rehat antarabangsa.
“Pasukan sudah bersedia menggempur dan kami tahu bahawa kami perlu mengharungi banyak perlawanan bulan ini yang begitu penting dalam membentuk musim kami,” kata Albrighton.
“Ia akan membentuk musim kami dan lebih awal kami menjamin kedudukan kami lebih baik. Ia adalah tumpuan kami, terutamanya dalam minggu mendatang ini.
“Kami mempunyai dua perlawanan di gelanggang sendiri dan ia mungkin menjadi peluang kami untuk terselamat, tetapi ia juga boleh terjadi sebaliknya jika kami mendapat keputusan yang tidak diingini.” – AFP