ULASAN BUKU OLEH RAZ AS
NOVEL Duels and Deception karya Cindy Anstey mengisahkan tentang Lydia Whitfield, seorang gadis yang menjadi pewaris kepada harta kekayaan keluarganya, di mana masa depannya telah dirancang dengan rapi.
Lydia akan menjalankan estet keluarganya sehinggalah dia berkahwin dengan lelaki pilihan arwah ayahnya, dan setelah itu dia akan menjalankan kehidupannya sebagai suri rumah tangga.
Berasa yakin dengan pengaturan itu, Lydia telah menugaskan kerani undang-undangnya, Robert Newton, untuk menyiapkan kontrak perkahwinannya. Segala-galanya berjalan dengan lancar sehinggalah pada satu hari Lydia dan Robert diculik.

Seseorang sepertinya inginkan harta kekayaan Lydia, dan orang itu tidak akan teragak-agak untuk menghapuskan reputasi Lydia demi mendapatkan kekayaannya.
Dengan bantuan Robert, Lydia berazam untuk membersihkan nama keluarganya dan mencari dalang di sebalik semua itu. Akan tetapi semakin jauh penyiasatan mereka, semakin erat perhubungan antara mereka dan Lydia mulai tertanya-tanya adakah kehidupan masa depannya yang dirancang itu adalah yang benar-benar dimahukannya?