Untuk yang pertama kali ingin mendapatkan sebuah kereta bagi kegunaan harian, mungkin ada yang masih berkira-kira sama ada ingin mendapatkan kereta baharu terus ataupun kereta terpakai sahaja.
Mana tidaknya, dengan keadaan ekonomi semasa, ada yang lebih selesa untuk hanya mendapatkan kereta terpakai kerana harganya yang lebih murah.
Namun ada juga yang ingin terus mendapatkan kereta baharu setelah mengambil kira beberapa faktor tertentu.
Persoalan sama ada mana yang lebih berbaloi, iaitu kereta baharu atau kereta terpakai adalah agak umum, dan ia bergantung kepada keperluan seseorang.
Namun, artikel daripada laman blog BJAK kali ini akan mengongsikan perbandingan antara pembelian kereta terpakai dengan kereta baharu agar awda boleh membuat pertimbangan sebelum membeli kereta.
Antara faktor yang perlu dipertimbangkan terlebih dahulu agar awda boleh membuat penilaian yang sewajarnya sebelum membeli kereta untuk diri awda ialah harga kereta, tempoh waranti kereta, bayaran pinjaman kereta dan insurans kereta.
HARGA KERETA
Salah satu faktor utama yang perlu dipertimbangkan oleh bakal pemilik kereta adalah harganya.
Secara amnya, harga untuk kereta terpakai sudah tentulah lebih murah berbanding harga untuk kereta baharu.
Berbeza dengan hartanah seperti rumah yang mana harganya sukar untuk susut nilai, nilai sesebuah kereta akan mengalami penurunan apabila ia semakin lama dibeli.
Jika awda membeli kereta baharu, harga yang awda perlu bayar sudah tentulah tinggi pada setiap bulan.
Namun, awda boleh jimat kos dari segi pembaikan kerana biasanya kereta baharu akan berada dalam kondisi terbaik dan kurang risiko untuk mengalami sebarang kerosakan dalam tempoh beberapa tahun (bergantung kepada cara penggunaan).
Namun, jika awda ingin mendapatkan kereta terpakai juga tidak salah. Banyak sahaja kereta terpakai yang masih berada dalam keadaan terbaik.
Jika awda berjaya mendapatkannya, maka ia merupakan satu pelaburan yang sangat menguntungkan untuk awda.
Disebabkan itulah jika awda berhasrat untuk membeli kereta terpakai, pastikan awda telah melakukan tinjauan atau kajian terlebih dahulu bagi mencari kereta terpakai yang tepat untuk awda.
Untuk membeli kereta terpakai, awda sangat digalakkan untuk mendapatkannya menerusi penjual kereta yang dipercayai dan sah sahaja bagi mengelakkan sebarang masalah berlaku pada masa akan datang.
TEMPOH WARANTI
Biasanya, pengedar kereta yang sah untuk penjualan kereta baharu akan memberikan tempoh waranti sehingga lima tahun kepada pelanggan mereka.
Ini sebenarnya agak berbaloi dan akan membantu awda pada masa akan datang andai kata berlaku sesuatu pada kenderaan awda dalam tempoh itu.
Tidak seperti kereta baharu, penjual kereta terpakai pula biasanya tidak memberikan waranti untuk pelanggan mereka.
Bahkan jika ada pun, waranti tersebut mungkin hanya untuk melindungi sebahagian komponen kereta tertentu sahaja seperti enjin, transmisi dan sistem penyejukan kereta.
Seterusnya jika kereta awda perlukan pembaikan, awda mungkin perlu mengeluarkan kos yang lebih banyak kerana kerosakan kereta itu biasanya agak parah memandangkan kereta tersebut sudah dipakai dan agak lama.
BAYARAN PINJAMAN KERETA
Biasanya, awda tidak boleh mendapatkan pinjaman tanpa faedah untuk membeli kereta terpakai.
Kadar faedah yang dikenakan untuk membeli kereta terpakai bahkan agak tinggi berbanding kadar faedah untuk membeli kereta baharu.
Namun begitu meskipun kadar faedah dikenakan lebih tinggi untuk pembelian kereta terpakai oleh pihak bank, awda perlu ingat bahawa harga keseluruhan untuk sebuah kereta terpakai masih lebih murah berbanding kereta baharu.
Sebelum membeli kereta, bandingkan dahulu tawaran pinjaman bank yang diberikan oleh pihak mereka. Lihat kadar caj faedah yang ditetapkan oleh institusi tersebut agar awda boleh mendapatkan kadar faedah terendah untuk pembelian kereta awda.
INSURANS KERETA
Apabila membeli kereta, satu perkara yang wajib awda miliki pada setiap masa dan perbaharui pada setiap tahun adalah insurans kereta.
Tidak kira sama ada awda mendapatkan kereta terpakai ataupun baharu, insurans
tetap wajib dibeli dan diperbaharui oleh awda.
Jika kereta terpakai yang dibeli oleh awda masih berusia di bawah lima tahun, awda masih layak untuk membeli insurans komprehensif (1st party) untuk perlindungan pada kereta awda.
Ini sangat penting bagi memastikan kereta awda tetap mendapat insurans yang
terbaik meskipun ia bukanlah kereta baharu lagi.
Harga insurans kereta juga mungkin berbeza untuk kereta terpakai dan kereta baharu, meskipun ia adalah model dengan tahun pembuatan yang sama ya!
Kesimpulannya, jika awda memiliki simpanan kewangan yang mencukupi untuk membeli sebuah kereta, maka tidak salah pun jika awda ingin terus mendapatkan kereta baharu.
Namun, jika awda ingin jimat maka awda boleh juga beli sahaja kereta terpakai untuk kegunaan harian awda.
Ia bergantung kepada keperluan seseorang. Yang penting, dapatkan sahaja kereta yang boleh memenuhi keperluan asas awda dan tidak akan membebankan awda pada masa akan datang.
Pilihan terletak di tangan awda. Fikir dan bandingkanlah mana yang terbaik untuk awda!