Oleh Adiiwira
Ketika dunia masih bergelut dengan penularan wabak COVID-19, panggung-panggung wayang masih tetap ditutup buat sementara waktu. Malah, orang ramai juga diarahkan untuk berada di dalam rumah masing-masing kecuali ada sebab tertentu untuk memerlukan mereka keluar daripada rumah.
Oleh yang demikian, ketika perintah berkurung dijalankan dalam rumah masing-masing, salah satu cara untuk menghiburkan diri adalah dengan menikmati drama-drama yang disiarkan di dalam televisyen.
Semakin banyak drama-drama Melayu telah diterbitkan ketika ini berdasarkan pengadaptasian beberapa buah novel. Dengan pengadaptasian novel berkenaan bukan hanya mengubah medium berbentuk teks menjadi visual, malah dapat mengangkat nama penulis novel berkenaan.
Namun, setiap novel yang divisualkan bukan semua yang terdapat di novel berkenaan. Malah ada beberapa babak perlu diubahsuai untuk mengikut kesesuaian jalan cerita yang dijadikan drama. Meskipun begitu, sama ada berbentuk drama atau novel, ia dapat menarik peminat untuk mengikutinya.
Pada minggu lepas, penulis menyentuh dua buah drama Malaysia yang disiarkan dalam saluran RTM di TV1 dan TV3 iaitu drama Rindu Yang Terindah dan Isteriku 120kg. Pada ruangan minggu ini, penulis akan menyentuh dua buah drama lagi iaitu drama Cinta Untuk Raf yang disiarkan di TV1 dan Bicara Cinta di TV3.
Cinta Untuk Raf merupakan drama arahan Zek Zukry dan diterbitkan oleh Open Echo Communication yang diadaptasikan daripada novel karya Rabihah Nur Ridhuan. Drama ini memiliki 26 episod yang dibintangi oleh Luqman Hafidz, Sasqia Dahuri, Tash Yong, Badrul Muhayat dan ramai lagi.
Drama ini mengisahkan tentang percintaan antara Orked dan Raf, di mana manisnya sebuah percintaan apabila ia diakhiri dengan sebuah perkahwinan. Impian yang dipendam selama dua tahun oleh Orked dan Raf akhirnya tercapai juga. Raf anak tunggal yang suka dipujuk bukannya pandai memujuk, malah membuatkan Orked menjadi keliru. Walau bagaimanapun, cinta Orked tetap kukuh buat Raf.
Namun sayangnya manisnya cinta mereka menemui penamatnya apabila kemunculan skandal di antara bapa Raf iaitu Tuan Rahman dan Tasya. Skandal itu menjadi titik permulaan kepada keruntuhan rumah tangganya kerana Tasya rupa-rupanya adalah Humaira, adik Orked yang dicarinya selama ini.
Raf dipaksa oleh ibunya, Puan Aqilah supaya menceraikan Orked apabila ibunya mengetahui pertalian di antara Tasya dengan Orked. Raf tidak mampu memilih. Orked pula tersepit. Tambahan pula Tasya menghidap penyakit Dissociative Identity Disorder (DID) iaitu kecelaruan identiti. Kerana hati yang terluka, Raf terpaksa melepaskan cintanya pergi. Namun adakah Raf dan Orked mampu untuk menerima takdir yang ditentukan buat mereka?
Dalam drama tersebut menumpukan penceritaan yang berkisar tentang konflik kekeluargaan. Di mana, drama ini menunjukkan musnahnya perhubungan perkahwinan akibat kehadiran orang ketiga. Terjadinya kecurangan seorang suami (bapa) yang sanggup menduakan isterinya sehingga tidak mengetahui bahawa wanita tersebut memiliki perhubungan dengan menantu sendiri.
Oleh sebab kebencian terhadap orang ketiga dan kerana menantu yang memiliki pertalian saudara, seorang ibu pula sanggup memaksa anaknya sendiri memusnahkan hubungan perkahwinan. Apa yang dapat ditonjolkan dalam drama ini ialah akibat daripada perilaku orang lain, orang lain pula menjadi mangsa.
Drama kedua pula merupakan drama arahan Along Kamaluddin dan terbitan Primeworks Studios yang disiarkan dalam slot Akasia TV3. Drama ini diadaptasikan daripada novel Bicara Cinta hasil karya Missa J yang menampilkan gandingan dua pelakon hebat iaitu Emma Maembong dan Adi Putera.
Drama ini mengisahkan tentang Anis Sofea yang kehilangan kedua ibu bapanya dalam satu kemalangan jalan raya. Penjaganya, Tok Ali dan Nenek Humairah, memujuk Anis untuk berkahwin dengan Adee kerana ingin memastikan kehidupan Anis terjaga.
Awalnya, sukar untuk Anis dan Adee hidup bersama apatah lagi dengan perbezaan umur hampir 20 tahun di antara mereka. Namun, bibit cinta dan kasih sayang mula dirasai. Pada suatu hari, Adee tidak pulang dari hutan. Anis sekali lagi diuji dengan kehilangan orang tersayang. Biarpun sukar untuk berdepan dugaan yang dihadapi, Anis harus tabah kerana kini dia perlu memikirkan masa depan anak mereka, Hanim.
Drama Bicara Cinta ini juga berkisarkan tentang konflik kekeluargaan namun tertumpu kepada watak utama wanita yang terpaksa menempuh dugaan kehidupan sendirian kerana kehilangan orang-orang yang disayangi.
Menurut penulis, drama mahupun novel Bicara Cinta ini hendak memperlihatkan tokoh wanita memiliki keperibadian yang kukuh setara dengan perwatakan lelaki yang digambarkan melalui watak Anis. Menempuh dugaan hidup dan membesarkan anak sendirian tanpa kehadiran suami merupakan satu cabaran besar dan berat untuk dihadapi sendirian.
Dalam masa yang sama, penulis novel mahu orang ramai mendalami dan menjiwai apa yang dihadapi oleh Anis. Apatah lagi dalam drama berkenaan, Emma Maembong memegang watak Anis yang sememangnya seorang pelakon yang versatil dalam menjiwai pelbagai watak.
Di samping Emma Maembong dan Adi Putera, antara pelakon-pelakon lain dalam drama ini ialah Azrel Ismail, Balkisyh Semundur Khan, Syed Aiman, Beego, Khalida Balqis, Eizlan Yusof, Khaty Azian. Drama ini memiliki 16 episod yang akan ditayangkan pada 2 April 2020 setiap Isnin hingga Jumaat pukul 7 malam.
Secara kesimpulannya, kedua-dua buah drama menonjolkan kisah yang berlatarkan konflik kekeluargaan yang terfokus kepada kemusnahan perhubungan perkahwinan. Namun berbeza sebab kemusnahannya, iaitu dalam drama Cinta Untuk Raf lebih tertumpu pada kemusnahan akibat keterpaksaan berbanding drama Bicara Cinta hubungan perkahwinan musnah akibat kehilangan orang-orang yang disayangi.
Untuk menjiwai lagi jalan cerita drama-drama berkenaan, penulis mengesyorkan untuk merujuk kembali novel yang diadaptasi.