Ulasan Siri TV oleh Zulkamal Haji Kamis
DRAMA terbaharu yang bertajuk Di Sisimu Aku ini baharu sahaja disiarkan pada 5 April yang lalu dan disiarkan dalam saluran Salam HD di Unifi TV. Drama ini berdasarkan kepada sebuah novel yang ditulis oleh Fatin Nabila dan diterbitkan oleh A.Aida Production Sdn.Bhd.
Drama Di Sisimu Aku ini disiarkan setiap hari Jumaat pada pukul 6 petang dan dilakonkan oleh beberapa artis yang semakin terkenal iaitu Eyka Farhana, Nafiez Zaidi, Natasha Mahyan, Raja Hakim, Dilla Ahmad, Badrul Muhayat, Azlan Mokhtar, Syed Ali Murtadha dan Puteri Rafasya.
Di Sisimu Aku ini diarahkan oleh Khalid Nadzri dan menggunakan lagu tema yang bertajuk Kisah Cinta Kita yang dinyanyikan oleh Hafiz Suip.
Plot ringkas drama
Sejak kecil Aman dan Qeena rapat ibarat kawan baik. Namun kemunculan Zeyra menggugat kemesraan mereka. Aman bagai terlupakan Qeena dek pesona kecantikan Zeyra.
Hati Qeena hangus terbakar. Akhirnya, dia mengalah dan pergi membawa diri. Dia rela dibenci, dia juga sanggup disalah erti.
Aman tercari-cari bayangan Qeena. Dulu ada di depan mata, gadis itu sering disakiti. Kini bila hilang, dia nanar sendiri.
Tapi Aman ego! Dia tidak berusaha untuk mencari. Padanya, biar masa yang menentukan, Zeyra atau Qeena yang jadi miliknya! Tapi, jauh di sudut hatinya ada ruang kosong yang tertinggal.
Pertemuan kedua dengan Aman terjadi tanpa dipinta. Ada rindu dan benci yang cuba Qeena rungkaikan.
Namun, dendam dan amarah Zeyra melukakan hatinya sekali lagi. Kalau benar Aman milik Zeyra, biarlah dia terima lelaki lain sebagai pengganti biarpun tanpa rasa cinta.
