LOS ANGELES, 1 MAC – Giannis Antetokounmpo menjaringkan 17 dalam 22 mata terakhir Milwaukee kelmarin ketika Bucks mencatatkan kemenangan kelima berturut-turut dalam perlawanan NBA dengan jaringan 105-100 ke atas Los Angeles Clippers.
Ketinggalan tujuh mata pada suku keempat, Bucks mendahului 101-100 melalui lontaran percuma Antetokounmpo dengan perlawanan berbaki 1:57 minit.
Dengan berbaki 10.3 saat, Khris Middleton membuat hantaran kepada Antetokounmpo untuk membuat jaringan dan menjadikan kedudukan 103-100 dan selepas percubaan tiga mata Kawhi Leonard terlantun keluar lalu Middleton meraih rebound dan melakukan dua percubaan percuma untuk melengkapkan kemenangan.
Clippers gagal menjaringkan sebarang mata pada empat minit terakhir perlawanan, dengan Leonard dan Paul George kedua-duanya kehilangan banyak mata.
Dua kali Pemain Paling Berharga NBA, Antetokounmpo menghabiskan perlawanan dengan 36 mata – kali keempat berturut-turut dia menjaringkan 36 atau lebih mata. “Hanya bermain dengan agresif,” kata Antetokounmpo selepas Clippers mendahului Bucks 33-24 pada suku ketiga.
“Saya tidak bermain bola keranjang yang terbaik pada suku ketiga,” tambahnya.
“Saya hanya cuba menjadi lebih agresif dan saya tahu ia akan berhasil, cuba mencari rakan sepasukan, cuba bermain dan mencipta peluang agar rakan saya dapat membuat percubaan terbuka atau saya boleh mara ke hadapan dan melakukan sesuatu yang istimewa dengan diri saya sendiri.”
Dia kemudian menambah 14 rebound dan lima assist dan Middleton menjaringkan 19 mata dengan lapan assist untuk pasukan Buck yang kembali dengan Jrue Holiday selepas kehilangan 10 perlawanan kerana protokol koronavirus NBA.
Holiday bermain selama 17 minit dari bangku simpanan, menjaringkan dua mata. – AFP