ANKARA, 3 April – Seramai 113,260 orang telah ditangkap dan 47,155 lagi ditahan reman kerana disyaki terbabit dalam gerakan Gulen sejak cubaan rampasan kuasan pada Julai 2016, kata Menteri Dalam Negeri Turki Suleyman Soylu, lapor agensi berita China Xinhua.
Antara yang ditahan terdiri 10,732 pegawai polis, 7,643 askar, 168 jeneral, 2,575 hakim dan pendakwa, 26,177 orang awam dan 208 pentadbir tempatan, kata Soylu dalam satu temu bual dengan saluran televisyen tempatan. Tambah beliau lagi, 23,861 suspek dibebaskan manakala 863 yang lain masih bebas.
Fethullah Gulen, seorang pendakwah berpangkalan di Amerika Syarikat dituduh kerajaan Turki mendalangi cubaan rampasan kuasa yang gagal pada 15 Julai 2016. Susulan itu, kerajaan Turki mengisytiharkan darurat dan melancarkan secara besar-besaran untuk mengesan serta mengenakan tindakan keras ke atas penyokon Gulen. – Bernama