THE HAGUE, 11 DIS – Badan pemerhati ubat-ubatan Kesatuan Eropah (EU) semalam memberi amaran bahawa rawatan antibodi tidak lagi berkesan terhadap strain baharu COVID yang kini semakin dominan.
Pelbagai antibodi monoklonal yang diberikan melalui suntikan atau infusi di hospital mampu merawat penyakit yang teruk terutama mengurangkan kesan koronavirus dalam kalangan pesakit berisiko atau yang dimasukkan ke hospital. Bagaimanapun, Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) memberi amaran ia mungkin tidak lagi berkesan terhadap strain baharu.
Ujian makmal menunjukkan ia ‘kurang berkesan’ untuk meneutralkan strain Omicron BA 4.6, BA 2.75.2 dan XBB,” kata pengawal selia yang berpangkalan di Amsterdam itu dalam satu kenyataan.
Ia juga secara ketara menunjukkan tidak meneutralkan BQ1 dan BQ11 yang dijangka menjadi strain dominan di EU dalam tempoh beberapa minggu akan datang. Rawatan antibodi utama sekarang termasuk Evusheld, keluaran AstraZeneca, Roche (Ronapreve) dan Xevudy (GSK dan Vir). EMA berkata, rawatan antiviral seperti Paxlovid, keluaran Pfizer dijangka kekal berkesan, oleh itu negara EU harus menyimpan bekalannya untuk pesakit berisiko tinggi.
Antibodi monoklonal terbukti dapat mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian sehingga 80 peratus, namun keberkesanannya mula hilang susulan virus itu sudah bermutasi. – AFP


