MADRID, 13 April – Sepakan penalti Antoine Griezmann telah memberikan Atletico Madrid sedikit kelebihan ke atas Leicester City dengan kemenangan 1-0 dalam suku akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi tadi.
Leicester menikmati permainan yang baik di separuh masa pertama, namun tiba-tiba terperangkap dalam satu serangan balas di minit ke-27.
Dalam perlawanan yang menyaksikan hanya terdapat sedikit peluang di depan gawang, Griezmann terbukti membuat perbezaan apabila dia memenangi penalti selepas membuat larian menarik sebelum dijatuhkan oleh Marc Albrighton di pertengahan separuh masa pertama.
Schmeichel telah menyelamatkan dua penalti dalam pertembungan dengan Sevilla di peringkat 16 terakhir, manakala Griezmann terlepas empat penalti terakhirnya untuk Atletico, termasuk dalam final Liga Juara-Juara musim lepas.
Pemain antarabangsa Perancis itu mengetepikan kecuaian penaltinya sebelum ini dengan menyudahkan penalti itu dan memberikan Atletico kelebihan menuju ke separuh akhir ketiga dalam empat musim.

Namun, Leicester masih mempunyai sebab untuk terus percaya pada impian mereka dalam penampilan pertama Liga Juara-Juara apabila kedua-dua pasukan itu akan bertemu semula minggu depan.
Dan pengurus Craig Shakes-peare mendakwa pasukannya telah terjejas oleh pengadil Jonas Eriksson, kerana dia percaya Griezmann dikasari di luar petak.
“Saya fikir ia adalah satu keputusan yang mengubah perlawanan. Ia memang satu faul tetapi di luar petak,” kata Shakespeare.
Jurulatih Atletico, Diego Simeone kesal mengenai kegagalan pasukannya me-muktamadkan perlawanan, te-tapi memuji usaha pertahanan Leicester.
“Mungkin penyudah kami kurang klinikal,” katanya.
“Selepas 1-0, Leicester bertahan dengan sangat baik, menunggu masa bagi serangan balas dan kami gagal mencipta lebih banyak peluang. Mereka mempertaruhkan segala-galanya dalam suku akhir kedua nanti.” – AFP