Antonio bantu The Hammers cabar tempat UCL

LONDON, 4 MEI – West Ham meneruskan kejutan mereka mencabar kedudukan Liga Juara-Juara musim hadapan ketika Michail Antonio menjaringkan dua gol untuk menewaskan Burnley 2-1, kelmarin.

Gol pembukaan buat Clarets menerusi sepakan penalti disempurnakan oleh Chris Wood, tetapi Burnley gagal menjamin tempat di Liga Perdana Inggeris buat satu musim lagi selepas Antonio meledak dua gol dalam tempoh lapan minit.

The Hammers kini menghuni kedudukan kelima, tiga mata di belakang Chelsea, yang akan membuat kunjungan ke Manchester City pada hujung minggu depan.

West Ham, sebagai perbandingan, dianggap pasukan pilihan dalam pertemuan menentang Everton, Brighton, West Brom dan Southampton untuk menghabiskan baki empat perlawanan dalam kempen ini.

Kepulangan Antonio daripada kecederaan terbukti menjadi faktor penentu buat pasukan David Moyes, yang bergelut untuk selamat pada peringkat ini musim lalu.

Aksi Michail Antonio menanduk bola dan menjaringkan gol pertama semasa pertemuan menentang Burnley di Turf Moor, baru-baru ini. – AP

Pemain kelahiran Jamaica terlepas dua kekalahan berturut-turut di tangan Newcastle dan Chelsea yang menjejaskan harapan untuk menduduki tempat empat teratas.

Satu lagi permulaan perlahan yang menyaksikan mereka ketinggalan sekali lagi apabila Wood dikasari oleh Tomas Soucek dan pemain New Zealand itu dengan yakin merembat bola masuk ke gawang melalui sepakan penalti.

Walau bagaimanapun, Burnley dihukum akibat kesilapan gagal mempertahankan bola hantaran lintang di kawasan kotak penalti mereka.

Antonio berjaya menghalang Matt Lowton daripada menanduk masuk bola hantaran lintang Vladimir Coufal pada minit-21.

Tidak lama kemudian dia dengan mudah menjaringkan gol hasil hantaran Said Benrahma di dalam kotak penalti.

Di kedudukan paling bawah carta liga, West Brom bakal kembali ke Liga Kejuaraan selepas semusim di Liga Perdana Inggeris setelah terikat seri 1-1 di laman sendiri kepada Wolves, kelmarin, sekali gus melenyapkan peluang mereka untuk terselamat. – AFP