LONDON, 7 OGOS – Tempoh 10 tahun Michail Antonio bersama West Ham berakhir selepas kelab itu memutuskan untuk tidak menawarkan kontrak baharu kepada pemain berusia 35 tahun itu.
Penyerang tersebut tidak beraksi sejak terlibat dalam kemalangan jalan raya serius pada Disember lalu yang menyebabkan kakinya patah teruk.
Pemain antarabangsa Jamaica itu menyatakan hasrat untuk kembali beraksi, namun kepulangan itu tidak akan berlaku bersama West Ham.
Antonio merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman West Ham dalam saingan Liga Perdana Inggeris, dengan keseluruhan 83 gol dalam 323 penampilan.
“Michail akan sentiasa menjadi ahli keluarga West Ham United yang disayangi dan dihormati,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
“Seperti sejak Disember lalu, kelab akan terus menyokong dan membantunya dalam proses pemulihan, termasuk menyediakan akses kepada latihan, kemudahan dan rawatan perubatan sekiranya diperlukan.”
West Ham turut mengesahkan bahawa mereka masih dalam rundingan dengan Antonio berhubung kemungkinan peranan bukan sebagai pemain di kelab itu pada masa akan datang.
Antonio adalah sebahagian daripada skuad West Ham yang memenangi trofi pertama kelab itu sejak 1980 apabila mereka menjulang kejuaraan Liga Konferensi Eropah pada tahun 2023.
“Seluruh warga West Ham United ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tulus kepada Michail atas sumbangan cemerlang dan dedikasinya selama 10 tahun mengenakan jersi merah dan biru,” tambah kenyataan itu. – AFP


